suria

“Tenang sikit tengok cikgu” - Siswa Uniten hasilkan aplikasi percuma Datang.my siap ada kod QR... pelajar back to school nanti scan je

Sesi persekolahan akan dibuka semula pada Rabu ini.

MENJELANG pembukaan semula sesi persekolahan melibatkan murid-murid kelas peperiksaan awam Rabu ini, pasti banyak persiapan yang harus dilakukan.

Bagi membantu kelancaran proses itu, seorang pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten) tampil dengan sebuah aplikasi yang dinamakan sebagai Datang.my.

Menurut Muhammad Akif Rabbani Ab Rashid, 23, dia mula membangunkan sistem untuk imbasan kod QR kedatangan pelajar bermula Ahad lalu dan ia berjaya disiapkan dalam tempoh dua hari.

ARTIKEL BERKAITAN: 24 Jun sekolah dibuka semula, hanya pelajar duduki SPM, STPM, SVM, STAM dan peperiksaan antarabangsa setara

ARTIKEL BERKAITAN: Sekolah lama ditutup, lambakan video TikTok di media sosial oleh pelajar dianggap menjengkelkan - “Saya tak suruh pun mereka tengok”

"Ahad minggu lepas, cikgu sekolah menengah saya mesej. Dia tanya, ada ke sistem yang boleh digunakan?

"Dari situ saya dapat idea dan hasilkan dalam dua hari. Prosesnya tidaklah mudah, tapi saya pun dah biasa buat sistem untuk kolej dan sebagainya.

"Dengan aplikasi percuma itu, ia akan hasilkan kod QR unik untuk setiap orang, kelas atau kumpulan dan cikgu akan imbas murid-murid setibanya mereka di sekolah," ujarnya kepada mStar.

Akif merupakan penuntut Uniten yang membangunkan aplikasi percuma, Datang.my.

Mesra disapa Akif, dia berkata sistem itu juga boleh digunakan untuk merekod suhu dan waktu kehadiran pelajar dan data itu boleh dipindah kepada Excel serta dalam format PDF.

Dengan menggunakan aplikasi Datang.my, ia sekaligus dapat menjimatkan masa semasa kedatangan pelajar serta kos penyediaan sistem memandangkan ia dihasilkan secara percuma oleh Akif sendiri.

Menurut Akif, dia sejujurnya lega dengan penghasilan aplikasi itu memandangkan ia dapat membantu guru apabila sesi persekolahan dibuka tidak lama lagi.

Aplikasi ini disediakan secara percuma oleh Akif.

"Saya rasa tenang sikit tengok cikgu. Kalau tidak, mungkin mereka kena print dan tulis satu-satu.

"Saya pun tak harapkan duit. Cuma bila kita mudahkan kerja orang, InsyaAllah ada rezeki lain menanti," ujar penuntut bidang Sains Komputer itu.

Antara fungsi tambahan aplikasi Datang.my termasuklah penghantaran mesej dengan caj RM0.07 sen kepada ibu bapa sejurus murid tiba di sekolah.

Saya pun tak harapkan duit. Cuma bila kita mudahkan kerja orang, InsyaAllah ada rezeki lain menanti.

MUHAMMAD AKIF RABBANI AB RASHID

PELAJAR/PEMBANGUN APLIKASI/PERUNDING IT

Dalam mesej itu, penjaga akan dimaklumkan bahawa anak mereka sudah tiba disekolah termasuk dengan bacaan suhu pada hari tersebut.Sis

Malah, Akif juga kini dalam proses menghasilkan satu lagi fungsi tambahan iaitu pengimbas suhu mudah alih.

"Saya sengaja buat sistem ini seringkas yang boleh untuk senangkan semua orang.

"Saya juga mahu cipta portable thermometer. Apabila diimbas, terus masuk data dalam aplikasi itu," ujarnya.

Akif akui tenang apabila ciptaannya itu dapat memudahkan urusan guru di sekolah.

Bercerita mengenai dirinya, Akif yang berasal dari Semenyih, Selangor turut mempunyai syarikat sendiri yang menyediakan khidmat rundingan IT.

Menurut pembangun aplikasi itu, minatnya ke arah bidang tersebut mula bercambah sewaktu kecil lagi dan dia banyak belajar menerusi internet sahaja selama ini.

Kata Akif, setakat pagi Ahad sudah 234 sekolah mendaftar untuk menggunakan aplikasi Datang.my.

Untuk penggunaan, mana-mana sekolah hanya perlu mendaftar di laman web Datang.my dan mendapatkan aplikasi di Gedung Play Store secara percuma.

Dia turut membuat hebahan mengenai aplikasi itu menerusi laman Facebook miliknya sehinga ia menjadi tular.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain