suria

“Awak ada rasa menyesal tak?” - Belum bersuami, pelajar sakit perut tersentak doktor sahkan hamil... takut nak pandang ‘mak garang’

Gadis bernama Balqis berkongsi momen lucu apabila dia disahkan hamil di hadapan ibunya selepas mengalami sakit perut berterusan. Gambar hiasan.

BAGI pasangan yang berkahwin, sudah tentu berita mengenai kehamilan disambut dengan perasaan gembira dan teruja.

Tetapi, bagaimana pula perasaan individu apabila secara tiba-tiba disahkan hamil sedangkan masih belum berkahwin, lebih-lebih lagi jika dia masih bersekolah?

Sudah tentu 1001 perasaan bermain di fikiran apatah lagi mengenangkan bagaimana mahu berdepan dengan ibu bapa dan keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: Sengaja tulis bahasa kasar! Guru lelaki bengang pelajar biadab persenda cikgu mengandung - “Mereka lahir dulu keluar ikut pokok durian ke?”

ARTIKEL BERKAITAN: Disah hamil sebulan sebelum PKP, bakal ibu ini risau jadi ‘bahan’ rakan sekerja otak kuning - “Ada siap kira bila persenyawaan berlaku

Inilah situasi yang dilalui oleh seorang gadis apabila dirinya disahkan hamil, selepas dia membuat pemeriksaan ekoran mengalami sakit perut berterusan.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Balqis itu berkata kejadian berkenaan merupakan momen lucu dan menakutkan dalam masa yang sama, yang tak akan dilupakan seumur hidupnya.



Balqis pada mulanya mendapatkan rawatan di klinik namun diberitahu dia hanya mengalami sakit perut biasa.

"Kejadian berlaku ketika Februari lalu, namun saya hanya berkongsi di Twitter baru-baru ini. Ketika itu saya mengalami sakit perut yang berterusan.

"Ketika mendapatkan rawatan di klinik, saya diberitahu bahawa ia hanyalah sakit perut biasa dan diberi ubat. Namun sakit perut masih lagi menyerang dan berterusan selama beberapa hari kemudian, di samping simptom berasa nak pitam dan muntah.

"Ibu bawa saya ke hospital lebih kurang pukul 7 malam. Saya ditempatkan di wad kecemasan. Macam-macam yang doktor buat check-up sehingga saya tertidur," cerita gadis berusia 16 tahun ini.

Balqis berkata dia kemudian dikejutkan daripada tidur oleh seorang doktor yang lain, sebelum dikhabarkan berita yang sungguh tak disangka-sangka.

"Tiba-tiba doktor tu bertanya 'awak ada rasa menyesal tak?'. Saya dah hairan kenapa pula doktor tu tanya macam tu. Saya jawablah, 'Saya sakit perut je, kenapa nak menyesal pula?'



Selepas diperiksa oleh dotor, Balqis dimaklumkan bahawa dirinya hamil namun dia sendiri berasa pelik kerana langsung tidak melakukan ujian air kencing.

"Doktor tu mukanya masih serius dan kata ibu saya perlu tahu perkara ini. Masa tu ibu saya dah pandang saya lain macam. Apabila doktor tu beritahu saya hamil, mahunya tak terkejut.

"Tapi saya cuba gelak-gelak dan cakap 'doktor jangan main-main'. Ibu saya kat sebelah dah pandang semacam. Doktor tu jawab, keputusan tu berdasarkan ujian air kencing. Lagi saya hairan sebab tak buat ujian air kencing dan ujian kehamilan yang lain," cerita anak ketiga daripada empat adik beradik ini.

Dalam situasi sedikit tegang itu, ibu Balqis meminta doktor berkenaan memeriksa dengan teliti sama ada benar sakit perut yang dideritainya adalah disebabkan hamil.

Apabila doktor tu beritahu saya hamil, mahunya tak terkejut. Ibu saya dekat sebelah dah pandang semacam.

BALQIS

MANGSA KERACUNAN MAKANAN

"Selepas doktor itu meneliti laptopnya, dia jawab panggilan telefon dan keluar sebentar. Masa tu saya takut nak tengok ibu. Ibu saya ni garang tau. Tapi mujur dia tak marah depan-depan dekat situ. Iyalah, mesti dia fikir bukan-bukan sedangkan saya masih bersekolah.

"Tak lama kemudian doktor tu masuk dan minta maaf, dan beritahu salah pesakit. Fuhh masa tu memang lega sangat," cerita Balqis.

Hasil pemeriksaan, gadis ini disahkan keracunan makanan dan dia ditahan selama empat hari di wad.



Hasil pemeriksaan, Balqis disahkan mengalami keracunan makanan. Gambar sekadar hiasan.

"Sehingga kini bila diingat balik, memang lucu juga. Ahli keluarga yang lain pun suka mengusik selepas insiden itu.

"Tapi saya nak tegaskan, tujuan saya tweet hanyalah sekadar berkongsi pengalaman semata-mata dan tiada niat lain. Tapi ada pula komen-komen yang negatif dan menyalahkan doktor itu.

"Jangan serius sangat. Mungkin doktor ada banyak pesakit dan penat hari itu, sebab itu terkeliru. Dalam pada itu, ramai juga yang share pengalaman yang sama.

"Apapun, sekiranya ada yang mungkin lalui pengalaman seperti ini nanti, nasihat saya usah terlalu takut. Cuba bertenang sahaja kalau kita tak buat perkara yang bukan-bukan," ujarnya mengakhiri bicara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my
hamil, keracunan makanan, sakit perut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain