“Antara saya dan Datuk Seri, beliau lagi berani” - Menantu dedah menteri ‘very adventurous’, siapa 2 individu di sebalik baju ‘sedap’ Ismail Sabri?

Ismail Sabri (kiri) bersama Jovian yang merupakan antara individu di sebalik gaya dan penampilan beliau yang kini menjadi perhatian ramai.

BUKAN setakat kuih-muih, ais krim dan kek termasuk segala macam pencuci mulut akan terbayang-terbayang tepat pukul 2 petang, terutama pada Jumaat dan hujung minggu.

Begitulah kuatnya imaginasi rakyat Malaysia yang mengikuti sidang media berkaitan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikendalikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain tutur bicara beliau menjadi tumpuan, persalinan baju batik yang berwarna-warni atau berona ceria yang menjadi pilihan Menteri Kanan (Keselamatan) itu turut menambat hati ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: “Baju saya dah jadi kuih muih” - ‘Sedap’ mata memandang, Ismail Sabri kekal tenang bajunya dibuat parodi

ARTIKEL BERKAITAN: Biasanya jawab soalan... hari ini Ismail Sabri hanya tersenyum wartawan wanita puji kemeja cantik, jual pantun ketika siaran langsung!

Tetapi, siapakah penata gaya yang membuatkan penampilan Ismail Sabri jadi sebutan dan dihujani pujian, malah memberikan mood ceria pada sidang media?



Penampilan Ismail Sabri setiap kali muncul dalam sidang media menarik perhatian netizen sehingga tercetusnya parodi yang menyamakan baju batiknya dengan makanan.

Tidak lain tidak bukan sudah tentu menantu beliau yang juga pereka fesyen terkemuka, Datuk Jovian Mandagie yang turut gembira dan terhibur dengan penerimaan orang ramai.

"Majoriti begitu menyukai imej Datuk Seri dengan penampilan warna-warna yang ceria. Mereka kata tak adalah nampak sedih atau suram sidang media terutama musim PKP yang saya percaya mood segelintir masyarakat agak terganggu.

"Ada yang sanggup ternanti-nanti sidang media harian Datuk Seri terutama pada Jumaat, Sabtu dan Ahad untuk melihat apakah baju yang bakal dipakai beliau," katanya kepada mStar.



Antara komen netizen sewaktu Ismail Sabri bersiaran langsung.

Jovian berkata, selain beliau, seorang lagi individu yang turut memberi pandangan tentang pemilihan baju-baju dan penampilan Ismail Sabri adalah ibu mentuanya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.

"Kadang-kadang Datuk Seri tak perlu bertanya pun, tapi hampir setiap malam saya dan ibu mentua akan berbincang apakah gaya yang bersesuaian dengan beliau," ujar pereka fesyen berusia 34 tahun itu.

Mengakui keperibadian Ahli Parlimen Bera itu begitu serius terutama berkaitan dengan tugasnya, Jovian mendedahkan bapa mentuanya mempunyai citarasa berbeza dari segi gaya.



Ismail Sabri kelihatan segak berbaju kemeja bercorak.

"Datuk Seri suka mencuba yang baharu, very adventurous dan terbuka kepada cadangan baharu. Beliau suka kelihatan muda dan ceria serta tidak takut bermain dengan warna.

"Jujurnya, antara saya dan Datuk Seri, beliau lebih berani bermain dengan warna. Dan sebagai menantu, kami juga sering menghabiskan masa bersama.

"Apabila keluar shopping, orang pertama yang beliau akan ajak dulu adalah saya, minta temankan untuk tanya sama ada gaya itu ini sesuai dengan beliau atau tidak," katanya yang memulakan koleksi siap dipakai atau ready-to-wear (RTW) pada 2012.



Antara baju paling disukai Ismail Sabri.

Mengenai penampilan terkini Ismail Sabri, Jovian berkata, setakat ini sebanyak lima baju telah disiapkan dan tiga daripadanya telah dipakai pada sidang media harian.

Antaranya baju kemeja bercorak warna ungu yang mana kainnya merupakan hadiah pemberian Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kepada beliau.

"Macam Datuk Seri sendiri berasal dari Temerloh, Pahang... jadi beliau mempunyai hubungan baik dengan kerabat diraja Pahang. Contohnya, macam baju kemeja warna hijau dan biru yang merupakan kain Tenun Pahang Diraja.

Kadang-kadang Datuk Seri tak perlu bertanya pun, tapi hampir setiap malam saya dan ibu mentua akan berbincang apakah gaya yang bersesuaian dengan beliau.

JOVIAN MANDAGIE

"Baju yang paling disukai Datuk Seri adalah baju batik warna-warni dari Terengganu yang orang kata macam air siraplah, air bandunglah. Beliau suka potongannya, corak batik yang lain daripada lain, dengan corak bunga yang bukan biasa-biasa.

"Bagi saya, semua saya suka sebab apabila saya membuat baju untuk Datuk Seri, saya akan pastikan pemilihan itu bersesuaian dengan gaya dan warna kulit beliau," katanya sambil menambah amat menyukai baju kemeja Tenun Pahang Diraja yang dipakai Ismail Sabri.



Baju yang dipakai Ismail Sabri baru-baru ini, yang mana kainnya merupakan hadiah pemberian Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Susulan tular baju-baju Ismail Sabri sehingga mendapat perhatian ramai, Jovian berkata, terdapat banyak permintaan diterima daripada pelanggan yang mahu rekaan yang sama seumpamanya.

"Ramai yang request nak baju macam Datuk Seri pakai tapi semasa PKP workshop kita tidak berfungsi sepenuhnya dan batik lukisan tangan itu perlu ditempah terlebih dahulu, jadi mengambil masa untuk menghasilkan baju-baju sedemikian.

"Tambahan pula, saya kini menumpukan penghasilan 10,000 peralatan pelindung diri (PPE) buat frontliner (petugas barisan hadapan) di hospital-hospital di seluruh negara," katanya sambil menambah telah menghasilkan kira-kira 4,000 PPE setakat ini, menerusi sumbangan dana orang ramai.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Klik

Covid-19 bukan sekadar pandemik, buktikan kepentingan dunia digital... dorong MYNIC lebih rancak bantu bisnes online

MYNIC menawarkan program latihan pemasaran digital, dengan membawa perniagaan luar talian ke dalam talian dan seterusnya menghadapi pasaran ekonomi digital global.

Berkongsi rezeki... itulah maksud di sebalik amalan membayar cukai

HARI ini, Malaysia dilanda krisis pandemik Covid-19 yang telah memberi banyak kesan kepada semua lapisan masyarakat.

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Duka Covid-19 seakan terubat, TNB sinari hidup golongan memerlukan, agih zakat cecah RM4.36 juta

TNB tampil dengan inisiatif perkongsian rezeki melalui pengagihan wang wakalah zakatnya ke seluruh pelusuk tanah air.

Ketahui 7 cara mudah sediakan makanan di rumah

SEBENARNYA tak susah untuk menaik taraf ruang peribadi anda terutamanya dapur bagi memudahkan dan melancarkan hari-hari anda di rumah.

Artikel Lain