Selepas 8 bulan, pakar bedah UK sanggup pandu dari KL ke Melaka jumpa Ainul... siap buat check up - “Apa yang dia bimbang sebelum ini tidak berlaku”

Dr Juling Ong bersama keluarganya meluangkan masa mengunjungi Ainul Mardhiah ketika pulang ke Malaysia, baru-baru ini. Foto: FB Ahmad Safiuddin

“SEBAIK sahaja sampai, dia terus mendapatkan Ainul”

Demikian kata Ahmad Safiuddin Ahmad Razak menceritakan mengenai kunjungan pakar bedah plastik pediatrik dan craniofacial, Dr Juling Ong ke rumahnya di Melaka, baru-baru ini.

Dr Ong, doktor kelahiran Pulau Pinang, merupakan salah seorang daripada kumpulan pakar bedah yang terlibat dalam menjayakan pembedahan membuang tumor seberat 200 gram daripada mulut Ainul Mardhiah, bayi yang pernah mendapat perhatian seluruh negara kerana menghidap kanser Germ Cell Tumor.

ARTIKEL BERKAITAN: “Harta boleh dicari, nyawa tiada ganti” - Ramai tak sanggup tengok derita Ainul Mardhiah, rela jual barang kesayangan

ARTIKEL BERKAITAN: Berjaya! Tumor 200g dikeluarkan dari mulut Ainul Mardhiah, "Perjalanan yang cukup emosi..." - Dr Amalina

Ini adalah kunjungan pertamanya selepas Ainul selamat menjalani pembedahan pada Jun tahun lalu.

“Masa di United Kingdom (UK) sebelum kami pulang ke Malaysia, dia beritahu mahu menziarahi Ainul sekiranya pulang ke Malaysia. Dia beritahu nak tengok keadaan Ainul.

“Ketika dia sampai, dia terus pergi dekat Ainul. Kemudian dia check mulut Ainul secara mata kasar. Selepas pembedahan dulu, dia ada menyatakan keadaan lidah Ainul yang sedikit senget kerana dihimpit tumor. Dia bimbang keadaan lidah Ainul akan kekal begitu sampai bila-bila.

“Selepas diperiksa, dia beritahu keadaan lidah Ainul tegak, maknanya apa yang dia bimbang sebelum ini tidak berlaku. Dia juga periksa pipi Ainul dari dalam, dan menurutnya bengkak semakin surut.

“Kami nampak dia sangat terharu dan gembira melihat keadaan Ainul sekarang yang semakin pulih dan aktif,” ujar bapa muda berusia 25 tahun ini kepada mStar.

Dr Juling Ong sempat memeriksa keadaan Ainul sewaktu lawatannya ke rumah keluarga bayi itu, baru-baru ini.

Menurut Ahmad Safiuddin, Dr Ong yang datang bersama isteri dan dua anaknya meluangkan masa selama hampir satu jam setengah di kediaman mereka.

Mereka juga sempat menikmati hidangan tengah hari yang disediakan oleh isteri Ahmad Safiuddin, Nurul Erwani Zaidi dan keluarganya.

“Dia gembira tengok Ainul makin membesar dan sihat sebab masa kami tiba di UK dulu, dia sedih lihat keadaan Ainul yang ada ketumbuhan, saiz badan pun kecil... dan paling dia sedih, apabila teringatkan anak bongsunya sebaya dengan Ainul.

Bila dia datang, tak rasa seperti seorang doktor yang melawat pun... tapi rasa macam saudara mara saja.

AHMAD SAFIUDDIN AHMAD RAZAK

BAPA AINUL MARDHIAH

“Saya dan isteri mengucapkan terima kasih kepada Dr Ong kerana sudi datang ke Melaka. Jauh dia memandu dari Kuala Lumpur ke sini. Kami terharu dia sudi melawat Ainul walaupun tugasnya terhadap Ainul sudah selesai.

“Bila dia datang, tak rasa seperti seorang doktor yang melawat pun... tapi rasa macam saudara mara saja,” ujar Ahmad Safiuddin.

Bercerita mengenai perkembangan Ainul, Ahmad Safiuddin berkata anak sulungnya yang kini hampir memasuki usia dua tahun agak aktif dan sudah bijak membaca isyarat tertentu.

Ahmad Safiuddin (dua, kanan), Nurul Erwani (kanan) dan keluarga sempat merakamkan foto kenangan bersama keluarga Dr Juling Ong. 

“Dia tak pandai duduk diam sekarang. Kalau siang tidur lama, malam mesti dia tidur lewat kerana bermain... apatah lagi jika ada yang melayan.

“Dr Ong meminta kami teruskan rawatan di sini, seperti temu janji dan pemeriksaan (check up). Ainul perlu lakukan pemeriksaan ujian darah (blood test) yang dinamakan Alpha Fetoprotein (AFP) setiap bulan.

“Sehingga kini, Alhamdulillah keputusannya normal. Kali terakhir melakukan MRI pula, keputusannya memang clear dan tidak ada yang meragukan," ujarnya.

Ainul yang hampir memasuki usia dua tahun kini semakin aktif dan keletah.

Dalam pada itu, Ahmad Safiuddin sekali lagi melahirkan penghargaan dan rasa terharu atas sikap dedikasi petugas yang bertungkus lumus menyelamatkan nyawa Ainul, serta sikap prihatin rakyat Malaysia yang tidak jemu-jemu mendoakan kesejahteraan anak perempuannya itu.

“Saya dan isteri nak ucapkan terima kasih sekali lagi buat semua, kerana mereka, Ainul sihat dan pulih hari ini. Bukan sahaja usaha doktor seperti Dr Ong, Dr Amalina Che Bakri... malah doktor-doktor lain, termasuk yang iringi Ainul ke UK dahulu.

“Buat rakyat Malaysia, terima kasih kerana prihatin dan memberi sumbangan untuk kesembuhan Ainul. Tak lupa, pada media yang sentiasa melaporkan perkembangan Ainul. Saya dan isteri benar-benar terharu,” ujarnya mengakhiri bicara.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain