suria

“Buat penat je tukar dua, tiga baju” - Nak masuk 2020, anak dah 2 tapi album kahwin belum dapat... ‘pengantin lama’ kena print foto sendiri

Fira berkongsi pengalaman 'menagih' album perkahwinannya walaupun sudah empat tahun majlis berlangsung.

“SAMPAI anak sulung saya nak masuk empat tahun, sampai sekarang gambar kahwin saya dan suami tak dapat,” demikian kata seorang wanita yang berkongsi kisahnya ditipu seorang jurufoto.

Hanya mahu dikenali sebagai Fira, wanita ini berkata, dia dan suami menggunakan khidmat seorang jurufoto yang sudah dikenali sejak beberapa tahun.

Menurut Fira, dia dan suaminya sepakat untuk menggunakan khidmat lelaki berkenaan atas dasar percaya kepada rakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Majlis terganggu, juruvideo ‘bad mood’ lensa kamera dijadikan gelas sirap, tak lama kemudian jadi makanan semut - “Mak dia langsung tak minta maaf”

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin, bridesmaid terus ke pasar raya selepas bersanding... rare atau jurufoto tak profesional?

“Kalau ikutkan, saya dan suami mahu ambil pakej yang RM1,500. Tapi kemudian suami cadangkan kami ambil pakej lain sebab ia penggambaran indoor sahaja. Kemudian abang ni tawarkan harga pakej RM800, konon harga kawan-kawanlah.

“Jadi kami pun bayar harga ‘booking’ sebanyak RM400 dahulu. Kira-kira sebulan selepas majlis selesai, saya pun hubungi dia untuk bertanya bila album gambar boleh siap. Abang ni cakap, kena bayar habis baru boleh dapat.

“Saya pun bayar baki selebihnya iaitu RM400 lagi. Tapi selepas bayar, tup tup dia pula hilang. Mesej, WhatsApp, semua tak berbalas. Panggilan pula tak berangkat,” ujar suri rumah berusia 25 tahun ini.

Perkongsian Fira di Facebook mengenai kisahnya ditipu seorang jurufoto.

Menurut Fira, hampir saban waktu dia menghubungi jurufoto berkenaan untuk ‘menagih’ album gambar perkahwinannya.

“Kami pernah bertemu pada 2016 untuk selesaikan hal ini, tapi dia beritahu ada masalah. Saya masih lagi bertolak ansur dan memintanya selesaikan dahulu masalahnya, dan nanti cari saya kembali. Tapi itulah, dia hilang tanpa khabar berita.

“Siapa tak kecewa… lagipun ia gambar pada hari bersejarah yang seumur hidup sekali saja kita buat. Tambah kecewa, dia yang ambil gambar saya disolek, akad nikah dan bersanding dan juga outdoor.

“Dua tiga helai baju pula tu tukar sewaktu bersanding. Buat penat je tukar-tukar persalinan dan bergambar sedangkan album gambarnya sampai ke sudah tak dapat,” katanya yang melangsungkan majlis perkahwinan pada 2015.

Paparan skrin perbualan di aplikasi WhatsApp antara Fira dan jurufoto berkenaan.

Tambah Fira, sungguhpun wang yang ‘dilaburkan’ mungkin bukanlah dalam jumlah yang besar, namun apa yang lebih membuatkannya ralat ialah foto saat bersejarah yang tidak dapat dikongsi dan ditatap untuk kenang-kenangan.

“Pernah sekali, saya beritahu yang saya mahu buat laporan polis. Ketika itu barulah dia muncul dan balas mesej saya.

“Dia beri macam-macam alasan kononnya ada sakitlah, ada masalahlah dan macam-macam lagi. Bila saya minta nombor telefon isterinya, dia tak mahu pula beri.

“Hinggalah beberapa hari lalu saya hilang sabar dan terpaksa berkongsi mengenai penipuannya di Facebook. Saya terpaksa menggunakan media sosial sebagai pilihan terakhir. Bila dah viral, baru dia menghubungi saya. Tapi dia pula salahkan saya kerana mendakwa bisnesnya terjejas sebab posting itu,” ujarnya yang berasal dari Jasin, Melaka.

Saya terpaksa menggunakan media sosial sebagai pilihan terakhir. Bila dah viral, baru dia menghubungi saya.

FIRA

MANGSA

Cerita ibu kepada dua cahaya mata ini lagi, jurufoto berkenaan akhirnya datang menemuinya pada Jumaat untuk memulangkan kembali wangnya berjumlah RM800.

“Dia datang ke rumah dan minta maaf. Dia juga beritahu nanti dia akan berikan thumb drive yang mengandungi gambar kahwin saya dan minta saya mencetaknya sendiri. Tapi tak tahulah bila pula dia nak beri. Saya harap sangat dapat thumb drive itu sebab nak simpan gambar kenangan sewaktu berkahwin,” katanya.

Dalam pada itu, Fira turut menasihati bakal mempelai supaya berhati-hati memilih khidmat jurufoto agar tidak mengalami nasib seperti dirinya.

“Kahwin ni bukan mudah… nak kena keluar bajet banyak. Jadi pilihlah betul-betul. Kalau boleh, sebelum pilih jurufoto, lihat dulu hasilnya dan review klien yang pernah ambil perkhidmatannya. Dalam kes ini, saya mengaku mungkin saya yang salah sebab terlalu percayakan orang,” ujarnya mengakhiri bicara.

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my
album, perkahwinan, jurufoto, tipu, photoshoot

Artikel Lain