suria

Gadis ada deria ke-6 terkena gangguan mistik,histeria - “Tiba-tiba katil yang tak ada orang itu bergoyang”

Seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi awam berkongsi kisah mengenai gangguan yang dialaminya sehingga pernah diserang histeria. Gambar sekadar hiasan.

SESETENGAH orang dikurniakan dengan kebolehan mampu melihat makhluk halus atau disebut sebagai deria ke-enam.

Begitu juga dengan seorang gadis ini yang berkongsi pengalamannya mengalami peristiwa mistik, gara-gara mempunyai kebolehan tersebut.

Menerusi satu bebenang di Twitter, gadis yang dikenali sebagai Ain ini berkongsi pengalamannya 'dikacau' ketika tinggal di kolej kediaman sewaktu menuntut di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam di utara tanah air.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia kata dah OK sambil tunjuk tali merah di tangannya” - Suka-suka main ‘Truth or Dare’ di asrama berakhir pengalaman ngeri seumur hidup 

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa hayun? Ibu sempat rakam video buaian bergerak sendiri

Menurut pelajar jurusan seni bina landskap ini, kejadian mistik yang dialaminya di kolej tersebut mula-mula berlaku ketika dia di semester pertama pengajian, apatah lagi blok kediaman tersebut terletak berdekatan hutan.

“Gangguan pertama, saya stay up dengan kawan untuk buat kerja. Selepas itu, tiba tiba ada orang ketuk pintu bilik dan kawan saya pun buka pintu. Ketika itu hanya kami berdua saja dalam bilik tu. Bila buka pintu, kelihatan ada makcik berdiri depan pintu dan bertanya sama ada kami lapar kerana dia ada makanan.

“Kawan saya suruh makcik tu tunggu sebab nak tanya saya dan bila dia toleh semula, makcik tu dah tak ada. Kami cepat-cepat bangun untuk lihat ke mana makcik itu pergi, tapi memang dia hilang.

“Yang peliknya kalau makcik tu gerak ke bilik lain, pasti kami tapi ini hilang terus. Jadi memang dapat agak itu bukan orang. Selepas itu kami buat tak tahu sahaja, ” ujar gadis itu.

Menurut Ain, selepas 'kehadiran' makcik tersebut, gangguan yang dialaminya semakin kerap tambah-tambah lagi ketika rakan sebiliknya tiada bersamanya di dalam bilik.

Perkongsian Ain mengenai kejadian mistik yang dialaminya ketika berada di semester kedua pengajian. 

Kata Ain, gangguan yang paling teruk dialaminya adalah sewaktu dia memasuki semester kedua pengajian.

Ujar Ain, antara faktor gangguan tersebut kerana semester kedua adalah antara waktu paling mencabar kerana ia memerlukan lebih tumpuan memandangkan subjek yang diambil semakin sukar, sehingga kadang-kala mengundang tekanan.

“Ketika malam itu, ada beberapa orang saja yang stay di studio sampai lewat malam. Selepas itu kelas kosong tinggal saya seorang sebab yang lain pergi makan. Sedang buat kerja, tiba-tiba terdengar bunyi orang lari.

“Tiba-tiba, ada bayangan budak melintas depan saya, budak kecik tu rambut mengerbang kerinting tak pakai baju dan badannya penuh berdarah. Saya terus kemas barang balik bilik,” ujarnya.

Gangguan daripada 'budak kecil' itu tidak terhenti di situ sahaja, sebaliknya ia berulang lagi pada keesokan hari.

Cerita Ain, pada ketika itu dia sedang khusyuk membuat kerja di meja, ketika itu dia tinggal berseorangan kerana rakan sebiliknya mempunyai kuliah.

“Tiba-tiba katil saya yang tak ada orang tu bergoyang seolah ada budak tengah main lompat-lompat atas katil tu. Bunyi kuat betul dan saya memang tak mahu toleh belakang. Saya terkaku di meja hingga rakan sebilik pulang dari kelas. Dah syak 'budak' tu ikut,” katanya sambil menambah, dia tidak menceritakan peristiwa tersebut kepada ibu bapanya.

Kemuncak kepada gangguan tersebut, Ain mengalami histeria sehingga terpaksa dibawa pulang ke rumah oleh ibu bapanya.

Sehinggalah pada malam hari tersebut, dia mengalami gangguan yang paling teruk di mana dia diserang histeria sehingga terpaksa dibawa pulang ke kampung buat seketika.

“Mula-mula elok saja saya buat kerja, ketika itu rakan dah nak tidur. Sedang buat kerja, saya terdengar ada orang menjerit. Tak semena-mena saya menangis dan dah tak tentu hala lari keluar bilik.

“Rakan kejar dan tarik masuk balik dalam bilik, dia dengan rakan sebiliknya pegang saya duduk atas katil sambil pasangkan ayat Kursi. Ini daripada apa yang diceritakan kembali kepada saya.

“Saya tak sedar apa jadi. Saya sedar apabila dikelilingi rakan dan ada ustaz di sebelah. Ketika sedar, memang rasa seperti baru habiskan marathon. Penatnya lain macam sampai nak bangun pun tak larat.

“Dalam pukul 1 pagi tu juga mak ayah saya datang dan bawa saya pulang ke rumah,” ujarnya sambil menambah, dia terpaksa bercuti selama seminggu di rumah ibu bapanya selepas kejadian tersebut.

Tambah Ain yang kini berada di semester ketiga, sungguhpun rasa takut masih menebal kerana bimbang kejadian yang sama berulang, namun ujarnya dia bersyukur dirinya tidak lagi mengalami gangguan.

“Alhamdulillah, selepas balik ke sini, tak terjadi apa-apa sebab ayah dah baca ayat pendinding semua kat bilik. Inilah pengalaman seram saya,” ujarnya mengakhiri bicara.

Perkongsian tersebut mengundang perhatian netizen sehingga ia meraih 8,200 ulang kicau, selain dihujani komen netizen.  

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain