suria

Empat bulan kenal di Twitter, pereka grafik ajak peguam 8 tahun lebih tua kahwin - “Dah suka, halalkan terus”

Bakal isteri Nicko berusia lapan tahun lebih tua namun ia tidak menjadi masalah buat dirinya.

EMPAT bulan berkenalan di Twitter, pasangan ini akhirnya membuat keputusan untuk mengikat tali pertunangan pada Disember depan.

Kisah pasangan ini agak unik yang mana si lelaki baru berusia 24 tahun manakala bakal isterinya pula sudah menjengah usia 32.

Biarpun berbeza lapan tahun, Nick Dzul Nick Hafiz Muhammad Zulkey mengakui ia bukanlah ukuran utama dalam hubungan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Asalkan jumpa jodoh, gadis abai persepsi Tinder lubuk 'orang gatal', “kalau cara betul, dapatlah yang baik”

ARTIKEL BERKAITAN: Jodoh di tangan Twitterians: “Memang nak kahwin, dapat banyak ‘retweet’ terus semangat cari tarikh”

Mesra disapa Nicko, dia sudah mengambil kira pelbagai faktor dan bersedia untuk menempuhi alam perkahwinan tidak lama lagi.

"Mengenai perbezaan umur, saya rasa tak ada masalah. Sebab saya dah terima dia awal-awal lagi. Dah ambil kira semua ni.

"Saya dah bersedia. Ada yang kata wanita berumur bila kahwin, ada risiko pada kandungan. Bagi saya, itu kerja tuhan," ujarnya kepada mStar.

Sekitar Ogos lalu, Nicko bercadang untuk terus berkahwin dengan Nurul Atiqah Mohd Sani namun dinasihatkan keluarga agar bertunang terlebih dahulu.

Malah, tempoh perkenalan yang singkat pasangan itu turut menerima persepsi kurang senang segelintir individu.


Posting Nicko di Twitter miliknya.

"Ada yang tanya kenapa nak kahwin cepat. Hamil ke? Ada yang tanya terlanjur ke, atau jadi pak sanggup?

"Sebenarnya tak ada apa pun. Dah suka, halalkan terus. Plan nak kahwin bulan Disember, tapi kami bertunang dulu atas nasihat keluarga.

"InsyaAllah akan kahwin pada Februari depan," ujarnya lagi.

Selain itu, perbezaan kerjaya antara Nicko dan Atiqah turut menjadi perdebatan segelintir individu.

Kata Nicko, dia bekerja sebagai pereka grafik manakala Atiqah merupakan seorang peguam.

"Dari segi pendidikan, kerjaya, dia lagi hebat berbanding saya. Ada suara-suara yang cakap, kenapa bakal isteri lagi hebat?

"Boleh ke dia nak patuh kepada suami? Kami dah pun bincang hal ini, InsyaAllah semuanya OK sahaja," kata Nicko lagi.

Dari segi pendidikan, kerjaya, dia lagi hebat berbanding saya. Ada suara-suara yang cakap, kenapa bakal isteri lagi hebat? Boleh ke dia nak patuh suami? Kami dah pun bincang hal ini, InsyaAllah semuanya OK sahaja.

NICK DZUL NICK HAFIZ MUHAMMAD ZULKEY

Mengulas trend cari jodoh dalam talian (online), Nicko mengakui ia bukanlah sesuatu yang asing.

Katanya lagi, lebih mudah untuk dia mengenali peribadi individu berdasarkan apa yang dipaparkan di laman sosial masing-masing.

Tambah Nicko, dia yang sudah melalui lebih 20 hubungan percintaan sejak zaman sekolah berharap usahanya untuk mendirikan rumah tangga dipermudahkan dan berjalan lancar.

Menerusi posting di Twitter miliknya, Nicko turut berkongsi beberapa foto dirinya dengan Atiqah.

Pasangan itu sudah lama mengikuti akaun Twitter masing-masing namun mula rapat sekitar empat bulan lalu.

Ia gara-gara kesungguhan Nicko yang menjawab soalan diajukan Atiqah menerusi platform Curiouscat serta direct message (DM) Twitter.


Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain