Main masuk je! Penunggang motosikal hijau terus ‘blah’ selepas mangsa jatuh... tapi pemandu Swift merah wajar dapat pujian! - Viral | mStar

Main masuk je! Penunggang motosikal hijau terus ‘blah’ selepas mangsa jatuh... tapi pemandu Swift merah wajar dapat pujian!

Tangkapan skrin rakaman video menunjukkan seorang penunggang motosikal merempuh sebuah kereta Suzuki Swift merah, gara-gara seorang penunggang motosikal lain memasuki lorong lain secara tiba-tiba. Sumber Sukan Star TV - sstv.my

SIKAP tidak bertanggungjawab seorang penunggang motosikal yang tiba-tiba masuk ke lorong lain menyebabkan seorang pengguna jalan raya terbabit kemalangan.

Mangsa yang juga penunggang motosikal merempuh belakang sebuah kereta Suzuki Swift merah di lorong kanan.

Menerusi satu perkongsian video di Facebook Sukan Star TV – sstv.my  pada Khamis, rakaman dari hadapan sebuah kereta menunjukkan mangsa kemudian terjatuh dalam keadaan tersepit dengan motosikal warna hijau milik penunggang yang menukar laluan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Berapa kali dia nak kena marah?” - Vellfire remuk dihentam, pemiliknya ada alasan sendiri ajak pemandu lori lepak mamak

ARTIKEL BERKAITAN: Suami isteri sanggup gadai nyawa bantu sahabat parah kemalangan disangka pencuri, “Cepat nanti tak pasal-pasal kena langgar lori laju”

Kejadian dipercayai berlaku di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur ketika kesesakan lalu lintas kira-kira pukul 7.40 pagi Rabu.

Penunggang motosikal hijau gigih mengalihkan motosikalnya tanpa mempedulikan mangsa yang terjatuh.

Dia yang disangka mahu membantu mangsa rupa-rupanya tidak berbuat demikian, sebaliknya penunggang berkenaan sedaya-upaya mengalihkan motosikalnya sendiri dan menolak motosikal mangsa ke tepi.

Seperti tiada belas kasihan, mangsa yang nyaris terperosok di bawah sebuah kereta lain dibiarkan.

Video berdurasi satu minit 20 saat itu kemudian menunjukkan pemandu Suzuki Swift bertindak keluar dari keretanya untuk membantu mengangkat mangsa, sebelum diikuti beberapa orang awam yang turut tampil menghulurkan bantuan.

Mangsa diangkat orang awam ke pembahagi jalan, sementara penungang motosikal yang menjadi punca kemalangan terus beredar.

Pemandu Suzuki Swift merah berkenaan juga yang membantu mengangkat motosikal mangsa tanpa mempedulikan kesan remuk kenderaannya akibat rempuhan.

Pemandu Swift merah bersama orang awam membantu mangsa.

Sikap tidak perikemanusiaan penunggang motosikal itu membangkitkan kemarahan warganet. Dalam pada itu mereka juga memuji sikap prihatin pemandu Suzuki Swift merah.

“Boleh lagi gigih dia tolak motor yang jatuh tu untuk bagi dirinya laluan,” komen seorang netizen yang berang dengan sikap penunggang motosikal yang tidak mempedulikan mangsa terjatuh.

Pemilik Swift keluar terus tolong, tak tengok pun kereta dia macam mana. Dalam kemalangan ni ada pengajaran kita dapat. Satu sikap prihatin tak pentingkan diri sendiri

NETIZEN

“Motor hijau tu mamai lagi ke apa? Dia bukan tak nampak motor belakang dia tu laju. Ingat masuk terkebil-kebil macam tu motor belakang boleh brek kecemasan ke,” ujar seorang lagi menyuarakan rasa tidak puas hati.

“Respek brother kereta Swift tu sangat penyabar semoga dipermudahkan segala urusan beliau dan dimurahkan rezeki,” puji netizen terhadap pemandu Suzuki Swift.

Mangsa dipapah oleh orang awam ke pembahagi jalan, manakala pemandu Swift membantu mengangkat motosikal mangsa. Kelihatan penunggang motosikal yang menyebabkan kemalangan terus beredar.

“Kalau tengok banyak kali nanti makin naik darah tengok dia selamba gitu. Ap apun kredit kepada pemandu kereta merah sebab sangat penyabar,” tulis seorang netizen.

“Siap bantu angkat motor yang langgar keretanya. Semoga motor yang selamba terdetik mata untuk menangis di rumah,” tambahnya.

“Pemilik Swift keluar terus tolong, tak tengok pun kereta dia macam mana. Dalam kemalangan ni ada pengajaran kita dapat. Satu sikap prihatin tak pentingkan diri sendiri. Lagi satu sikap tak bertanggungjawab motor hijau tu,” komen netizen lain.

Suzuki , Swift , langgar , rempuh