suria

Suami isteri sanggup gadai nyawa bantu sahabat parah kemalangan disangka pencuri, “Cepat nanti tak pasal-pasal kena langgar lori laju”

(kiri) Keadaan motosikal milik Ajam yang terbabit dalam kemalangan dibawa masuk ke dalam kereta. (kanan) Ajam dirawat di ICU di Hospital Sungai Buloh, Selangor. Foto ihsan Nur Syahzanani Shamsuddin

NIAT baik mahu membantu seorang sahabat terbabit dalam kemalangan disalahertikan apabila sepasang suami isteri dituduh mencuri motosikal milik mangsa.

Semuanya gara-gara suami isteri berkenaan dilihat bertungkus-lumus cuba memasukkan sebuah motosikal ke dalam kereta Perodua Viva di tepi lebuh raya.

ARTIKEL BERKAITAN: Motor rosak tengah jalan tak sempat ambil pesanan roti canai… “Mujur ada abang ni walaupun tak kenal tapi macam adik-beradik”

ARTIKEL BERKAITAN: Macam kembar hilang adik, sahabat dilanggar lori depan mata... Dia sempat pesan, “kalau aku tak ada tolong tengokkan mak ayah”

Salah seorang pasangan itu, Nur Syahzanani Shamsuddin, 21, berkata, mangsa yang juga rakan baiknya dan suami terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat Sungai Buloh, Selangor pada pagi Isnin lalu.

Keadaan motosikal mangsa selepas terbabas di bahu jalan.

Ketika kejadian, katanya, rakan mereka, Mohd Adzham Danial Fazil atau lebih dikenali sebagai Ajam, dalam perjalanan untuk menghantar barang.

“Menerusi grup sembang Whatsapp, Ajam sempat beritahu kami dan rakan-rakan lain yang dia terbabit kemalangan, tengah tunggu ambulans datang.

“Ajam minta kami tolong ambil motosikal dia sebab dia akan dihantar ke hospital. Kami ingatkan dia main-main sebab dia suka bergurau. Tapi lepas dia hantar gambar di lokasi kejadian, baru kami percaya,” katanya kepada mStar.

Nur Syahzanani berkata, motosikal yang ditunggang oleh rakannya itu terbabas di bahu jalan selepas hilang kawalan, dipercayai melalui permukaan jalan yang tidak rata. 

“Kebetulan ramai kawan-kawan di dalam grup Whatsapp sedang bekerja pada pagi Isnin tu dan kami suami isteri sedang bercuti, jadi kami bantu untuk ambil motosikal dia serta topi keledar.

Hidup berkawan ni bukan masa senang dan gembira je, tapi juga masa dia dilanda kesusahan. Hari ini hari dia susah, hari kita belum tahu.

NUR SYAHZANANI

“Motosikal dia rosak jadi terpaksa seret dan angkat masuk ke dalam kereta, masa nilah beberapa orang yang melalui lebuh raya tu jerit kata kami ni nak curi motosikal. Kami jerit beritahu bukan nak curi, tapi tolong ambil motor kawan kemalangan.

“Suami pula nak minta tolong seorang lagi rakan untuk angkat motor, tapi saya kata kena cepat sebab nanti tak pasal-pasal kami kena langgar dengan lori-lori yang dipandu laju. Lorong kecemasan di lokasi kejadian ditutup untuk penyelenggaraan,” katanya sambil menambah dia dan suami bersahabat dengan Ajam lebih empat tahun.

Motosikal Ajam dibawa masuk dalam kereta Nur Syahzanani dan suaminya.

Menurut Nur Syahzanani, rakannya itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sungai Buloh, Selangor dan mengalami kecederaan parah di bahagian kaki.

“Kami dimaklumkan Ajam mengalami patah tulang paha kirinya dan kecederaan di bahagian saraf. Jadi, dia memerlukan dua pembedahan secara berasingan.

“Ajam telah menjalani pembedahan pertama dan menunggu keadaannya stabil sebelum meneruskan pembedahan tulang pahanya,” ujar ibu seorang anak itu.

(gambar kiri) Nur Syahzanani dan suami serta Ajam (gambar kanan) bersahabat baik.

Nur Syahzanani yang menetap di Klang berkata, bantuan yang diberikan dia bersama suami adalah atas dasar persahabatan dengan Ajam.

“Masa kami dapat tahu dia kemalangan, memang kami terkejut sangat. Siapa tak sedih bila rakan baik sendiri ada masalah.

“Hidup berkawan ni bukan masa senang dan gembira je, tapi juga masa dilanda kesusahan. Hari ini hari dia susah, hari kita belum tahu.

“Saya dan suami berharap agar segala urusan Ajam berjalan lancar dan segera sembuh. Sama-sama kita doakan,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kemalangan, motosikal, nikah, PLUS, Perodua, Viva

Artikel Lain