suria

Lima tahun study pesawat, kerjaya sebagai rider Food Panda buat lelaki ini sedar, “Saya dapat tengok cara layanan tu lain...”

Amirul merupakan graduan UniKL MIAT, Sepang.

MENCARI pekerjaan untuk mereka yang baharu sahaja menamatkan pengajian pastinya amat mencabar dalam dunia yang penuh persaingan hari ini.

Meskipun kursus yang diambil cukup hebat, peluang pekerjaan yang diidam-idamkan belum tentu ada untuk diisi segera.

Dan hakikatnya hari ini ramai sanggup bekerja di luar daripada bidang pengajian sementara menunggu pekerjaan diimpikan.

Begitu kisah yang dilalui seorang pemuda yang memilih bekerja sebagai rider Food Panda sejak Jun lalu meskipun kursus pengajiannya bukan calang-calang iaitu Kejuruteraan Penyelenggaraan Pesawat (Aircraft Engineering).

ARTIKEL BERKAITAN: Diserang kanser limfoma, hidup Dr Mukhlis beralih dari jarum suntikan ke berus solekan

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai tersentuh hati tengok rider bawa anak ketika bertugas hantar makanan... siap nak sedekah ekzos, helmet

Perkongsian Amirul Syaqir Anuar di Twitternya dengan kapsyen '5 tahun aku ambil masa nak habiskan degree Aircraft Engineering ni. Alhamdulillah sekarang berjaya bergelar Food Distribution Engineer' menjadi tular dan mendapat pelbagai reaksi netizen.

Amirul bersama keluarganya yang menetap di Pasir Mas, Kelantan.

Rupa-rupa ramai mendedahkan mereka turut bekerja di luar bidang yang mereka pelajari.

Amirul Syaqir ketika dihubungi mStar berkata dia mengambil keputusan untuk bekerja sebagai penghantar makanan - Food Panda di sekitar Bangi, Selangor sementara memperoleh pekerjaan tetap.

Pemuda berusia 24 tahun itu sanggup melakukan pekerjaan tersebut kerana mahu meringankan beban kedua ibu bapanya yang terpaksa menanggung perbelanjaan lima adiknya yang masih bersekolah.

"Saya sebenarnya baru je habis study pada Jun lalu. Parents suruh balik kampung sambil-sambil cari kerja. Tapi saya dah balik kerja dua minggu macam tu fikir-fikir adik-adik ramai dan saya anak sulung, jadi saya teringin nak tolong parents sikit.

"Dekat Kelantan tak banyak sangat kerja. Jadi saya buat keputusan datang Sepang buat Food Panda dekat area Bangi. Lagipun boleh dekat dengan adik saya. Sambil-sambil tu saya submit resume dan tunggu interview.

"Setakat ni saya dah pergi lima... enam interview tapi sehingga hari ini belum ada respons lagi. Saya harap ada rezeki dapat kerja tetap. Saya tak kisah pun kerja apa selagi berkaitan dengan apa yang saya belajar," katanya.

Gambar kenangan bersama rakan-rakan sepengajian di UniKL Miat, Sepang.

Dengan pekerjaannya itu, Amirul yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan meluahkan rasa syukur kerana dia memperoleh pendapatan lebih RM2,000 sebulan.

"Daripada duduk kat kampung sekurang-kurangnya dengan kerja ini saya dapat bantu bayar yuran sekolah adik-adik yang masih belajar.

"Gaji dibayar ikut minggu. Jika saya kerja setiap hari, seminggu kasar-kasar saya dapatlah RM500-RM600. Jadi sebulan tu bolehlah dapat lebih RM2,000 ikut tahap rajin," katanya.

Amirul mengakui seronok dengan kerjayanya itu tetapi ada kalanya terkilan dengan sikap segelintir individu yang memandang remeh pekerjaan tersebut.

Tapi bila sampai je kena marah sebab lambat. Sebenarnya tak ramai faham kesukaran yang kami lalui.

AMIRUL SYAQIR ANUAR.

Rider Food Panda.

"Kadang-kadang masa hantar makanan saya dapat tengok cara layanan tu lain... seolah-olah mereka pandang rendah kerjaya ini. Ada juga yang tanya kenapa tak sambung belajar tapi saya tak cakap apa-apa.

"Saya tak kisah sangat sebenarnya cuma terkilan dengan persepsi masyakarat. Bagi saya kita kena layan setiap orang sama rata tak kira apa pekerjaan dia sekali pun. Kita sama-sama manusia.

"Saya pernah terjumpa seorang lelaki warga Bangladesh masa pergi makan dekat kedai mamak. Dia cerita dia engineer dekat negara dia tapi bila datang sini jadi tukang masak. Jadi kita tak boleh judge seseorang berdasarkan pekerjaan dia," katanya.

Amirul baru sahaja selesai menghantar pesanan dalam hujan.

Ditanya mengenai kenangan sepanjang bekerja sebagai rider Food Panda, Amirul berkata pengalaman menghantar makanan ketika hujan akan sentiasa kekal di ingatannya.

"Hantar makanan dalam hujan lebat paling mencabar. Walaupun hujan kita redah juga bagi memastikan makanan yang dipesan sampai tepat pada waktunya.

"Tapi bila sampai je kena marah sebab lambat. Sebenarnya tak ramai faham kesukaran yang kami lalui," katanya.

Dalam pada itu, anak sulung daripada enam beradik itu tidak menduga postingnya yang dimuatnaik secara suka-suka menjadi tumpuan ramai.

"Tweet tu saja nak bergurau dengan kawan-kawan. Kebetulan masa tu tengah lepak makan dengan kawan-kawan masa belajar dulu.

"Ada seorang kawan dia buat part time cleaner. Jadi saya sahaja bagi nama macam tu gurau-gurau. Tak sangka viral pula," katanya yang turut aktif bermain bola sepak untuk Liga M4.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Amirul Syaqir, Food Panda, rider, engineer

Artikel Lain