suria

“Tengoklah nanti, tunggu gaji Oktober” - Hilang sahabat cerita rahsia, jejaka luah rasa terkilan kerana tak mampu nak berdoa untuknya

Naufal (kanan) cukup terkesan dengan pemergian rakan karibnya.

BENARLAH kata orang, ajal maut dan jodoh pertemuan segalanya di tangan tuhan.

Pemergian Nor Shahera Mahfar, 21, akibat kemalangan jalan raya pada minggu lalu memberi kesan mendalam buat sahabat baiknya, Muhammad Naufal Md Yatim.

Mesra disapa Naufal, dia mengabadikan kenangan bersama rakan yang dikenalinya sejak berusia 16 tahun itu menerusi satu nukilan di Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN: Video tribute untuk arwah! Sembuh bahu kiri, pelajar VI maut kemalangan... bahu kanan pula patah - “Baiknya arwah masa hidup...”

ARTIKEL BERKAITAN: Sahabat berkelakuan pelik, segalanya terjawab ketika konvoi jalan-jalan cari makan, “Dia cakap hal mati, kemalangan dan rindu arwah ibu bapa”

Perkongsian yang disertakan sekeping foto pusara arwah cukup meruntun hati netizen sehingga ia menerima lebih 4,200 ulang kicau (Retweet).

Kata Naufal, dia sangat terkesan dengan pemergian itu memandangkan arwah merupakan tempatnya meluahkan pelbagai cerita dan rahsia.

Masa dia sakit, saya tak mampu baca doa, tak pandai. Pada waktu itu saya sedar tuhan boleh ambil apa yang kita ada bila-bila masa sahaja.

MUHAMMAD NAUFAL MD YATIM

"Banyak benda saya cerita pada dia, dia tahu kisah saya dan kenal diri saya. Bila dia tak ada, ia memberi impak besar.

"Birthday dia pada 9 September, kami ada jumpa dan saya belanja dia. Saya tanya bila dia nak belanja saya?

"Dia kata tengoklah nanti, tunggu gaji bulan Oktober. Saya tak syak apa-apa. Tapi lepas dia meninggal baru saya perasan jawapan dia yang tak pasti tu macam petanda dia nak pergi," ujar Naufal kepada mStar.

Tambah Naufal, dia sempat melawat rakan karibnya itu di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor, sehari sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir.

Nor Shahera Mahfar meninggal dunia pada Ahad lalu.

Dedah Naufal, pertemuan dalam suasana cukup sayu ketika sahabatnya kritikal dan tidak sedarkan diri turut membuka pintu hati serta memberi kesedaran buat dirinya.

"Masa dia sakit, saya tak mampu baca doa, tak pandai, waktu tu juga saya minta ampun pada tuhan.

"Pada waktu itu saya sedar tuhan boleh ambil apa yang kita ada bila-bila masa sahaja. Saya kecewa sebab lalai dengan dunia. Saya tak pandai baca doa, tak tahu apa nak buat.

"Saya nak doa agar dia dapat masuk syurga dan jumpa dia di sana. Saya dah tak ada masa nak main-main, sekejap je dunia ni," luah Naufal lagi.

Posting Naufal di Twitter.

Imbas Naufal, dia juga tidak menyangka rakannya itu akan pergi buat selamanya memandangkan keadaannya yang bertambah stabil, sehari sebelum meninggal dunia.

"Tekanan darah dia dah mula stabil, oksigen cukup. Saya yakin dia sembuh sebab dia seorang yang kuat.

"Arwah ni seorang yang periang, suka ketawa dan selamba. Dia tak kisah apa orang nak cakap.

"Tapi bila dapat berita dia dah tak ada, memang saya terkejut. Saya tak tidur hinggalah selesai dia dikebumikan.

"Tolong sedekahkan Al-Fatihah buat arwah, doakan juga saya terus istiqamah," kata Naufal lagi.

Sewaktu kemalangan yang berlaku di Kota Tinggi pada minggu lalu, Nor Shahera menaiki kereta bersama ibu dan dua lagi kakaknya.

Kejadian itu menyebabkan gadis itu meninggal dunia manakala tiga lagi keluarganya kini masih dalam rawatan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
sahabat, doa, insaf, pengajaran

Artikel Lain