Dengar bunyi orang terlanggar baldi di luar rumah, ibu tunggal kongsi tempoh 15 minit yang sangat menakutkan... perompak ‘umpan’ buka pintu! - Viral | mStar

Dengar bunyi orang terlanggar baldi di luar rumah, ibu tunggal kongsi tempoh 15 minit yang sangat menakutkan... perompak ‘umpan’ buka pintu!

Masturadiana berkongsi pengalamannya yang hampir menjadi mangsa pecah rumah dalam satu posting di Facebook baru-baru ini.

SEJAK kebelakangan ini, macam-macam cara yang digunakan perompak untuk memecah masuk kediaman.

Antara taktik yang digunapakai termasuklah ‘mengumpan’ pemilik kediaman agar keluar sebelum perompak mengambil peluang tersebut untuk menyerbu masuk ke dalam rumah bakal mangsa.

Seorang ibu tunggal, Masturadiana Ibrahim menerusi perkongsian di laman sosial Facebook turut menceritakan pengalamannya yang hampir menjadi mangsa samun baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas lawan tarik beg dengan peragut sampai masuk wad kecemasan, wanita ini baru tahu dia sedang hamil... ini pesanannya buat lelaki berjaket hitam! 

ARTIKEL BERKAITAN: “Perempuan gempal tarik rantai dia” - Anak kena ragut di Jom Heboh, ibu nak bagi peringatan dituduh nak tunjuk ‘have-have’ 

Berkongsi cerita dengan mStar, dia yang lebih dikenali dengan nama Diana berkata, kejadian pada Ahad lalu sememangnya membuatkan dirinya trauma sehingga kini.

“Menjelang malam saja, perasaan takut tu datang. Bimbang kejadian yang sama berulang lagi, apatah lagi dalam rumah sewa kami semua perempuan dewasa dan dua budak lelaki.

“Sejak kejadian itu, saya bawa masuk kayu besbol untuk dijadikan senjata persediaan untuk diletakkan dalam bilik,” katanya.

Menceritakan kembali kejadian tersebut, Diana berkata pada malam itu dia pulang ke rumah sewa yang diduduki bersama dua orang adik perempuan dan dua anak lelakinya lebih kurang pukul 9 malam.

Sebagaimana rutin kebiasaan, dia akan memeriksa pintu kenderaan dan pintu rumahnya untuk memastikan semuanya berkunci.

Antara komen netizen pada posting Diana mengenai kejadian yang dialaminya.

“Kira-kira pukul 3.30 pagi, tiba-tiba saya terjaga sebab terdengar bunyi penggera kereta berbunyi kuat tak berhenti. Saya terus bangun, adik-adik saya juga bangun.

“Dari tingkap dalam rumah, saya nampak pintu kereta saya bahagian pemandu renggang. Pelik juga sebab sebelum tidur, saya sudah double-check. Kalau tak rapat, mesti penggera sudah berbunyi waktu saya tekan sebelum itu.

“Berasa sangat tidak sedap hati, saya terus hubungi 999 dan panggilan saya terus disambungkan ke Balai Polis Melaka Tengah,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh 15 minit kemudian, tiga orang pegawai polis peronda tiba di lokasi rumahnya yang terletak di sebuah taman perumahan di Telok Mas, Melaka.

“Dalam tempoh 15 minit sebelum polis tiba, kami bertiga sungguh takut apatah lagi terdengar bunyi orang terlanggar baldi di luar rumah. Dalam hati berdoa agar polis segera tiba. Adik-adik memang pucat dah.

“Bila polis tiba, barulah kami berani keluar rumah dan periksa keadaan sekeliling. Anehnya, memang tiada kesan umpilan di pagar depan mahupun belakang rumah. Mungkin penyamun itu panjat pagar kerana rumah kami ‘corner lot’” cerita ibu muda berusia 27 tahun ini lagi.

“Dalam tempoh 15 minit sebelum polis tiba, kami bertiga sungguh takut apatah lagi terdengar bunyi orang terlanggar baldi di luar rumah. Dalam hati berdoa agar polis segera tiba. Adik-adik memang pucat dah.

MASTURADIANA IBRAHIM

Bercerita lebih lanjut, Diana berkata selepas polis beredar, dia dan dua adiknya tidak mampu melelapkan mata kerana bimbang penyamun berkenaan membuat percubaan kali kedua.

“Hanya tidur-tidur ayam sahaja sebab terlalu takut. Sayalah orang yang paling tua dalam rumah itu. Keselamatan adik-adik dan anak merupakan tanggungjawab saya. Namun kami hanya mampu berdoa.

“Selepas kejadian tersebut, saya berniat nak pasang kamera litar tertutup (CCTV) sebagai langkah keselamatan. Ibu bapa juga ingatkan kami agar sentiasa ‘alert’ jika pulang pada waktu malam.

“Takut memang takut, tapi tak terfikir untuk pindah ke rumah ibu bapa atau tempat lain sebab kami sebenarnya baru pindah masuk ke rumah ini sebulan yang lalu. Apa yang mampu buat, tingkatkan keselamatan dan berdoa agar dijauhkan daripada perkara yang tak diingini itu,” akhirinya.

Sehingga kini, hantaran (posting) Diana di laman Facebook dihujani ratusan komen dan mendapat lebih 400 perkongsian. 

alarm , penggera , kayu besbol

Artikel Lain