Pemuda terkejut Neelofa retweet kisah lelaki tua ‘lepak’ di TBS, terkilan tak tahu detail pakcik… "Saya bagi duit dia tolak, anaknya di ICU" - Viral | mStar

Pemuda terkejut Neelofa retweet kisah lelaki tua ‘lepak’ di TBS, terkilan tak tahu detail pakcik… "Saya bagi duit dia tolak, anaknya di ICU"

“DIA tak nak duit, hanya sekadar mahu air panas sahaja,” kongsi seorang pemuda yang hampir menitis air mata melihat lelaki tua yang baharu dikenalinya itu.

Menurut Muhammad Armin Shah Abdul Jabar,21, hatinya begitu tersentuh apabila terpandang lelaki tua yang duduk di luar bangunan Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Khamis malam lalu.

Jelas Armin, selepas tiba dari Kuantan, dia keluar  bangunan itu sementara menunggu Grab untuk ke Pandan Indah.

ARTIKEL BERKAITAN: Dapat banyak pujian, rupa-rupanya pemuda ini ada rasa terkilan selepas tolong penunggang ‘tak jumpa TBS’, “Kalau ikutkan saya...

ARTIKEL BERKAITAN: Tanya Duit Warna Apa, Pakcik OKU Dituduh 'Berlagak'

“Ketika itu saya terpandang seorang pakcik yang duduk keseorangan. Saya terus tegur dia tanya dari mana.

Armin berharap dapat bertemu dengan pakcik sebelum pulang ke Kuantan Isnin ini.

“Dia cakap dari Kedah dan ada beritahu tidur di TBS selepas ulang alik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Dia ada cakap ada anak lelaki belajar di UIA Gombak tetapi sekarang ada di ICU (Unit Rawatan Rapi) HKL kerana kemalangan.

“Saya tanya kenapa tak tidur di HKL sahaja, tetapi pakcik tu cakap kat TBS lebih selesa, tapi kadang-kadang dia tidur di sana juga.

“Ketika itu saya tengok matanya sedikit berkaca,” kongsinya kepada mStar.

Jelas Armin, melihat wajah pakcik itu yang agak tenang, hatinya turut tersentuh dan bersimpati.

Saya hampir menitis air mata apabila dia menceritakan kisahnya sanggung berulang alik dari HKL ke TBS setiap hari. Anaknya di ICU.

MUHAMMAD ARMIN SHAH ABDUL JABAR

[ Type in person identity ]

“Saya tanya dia dah makan ke belum, jawabnya belum, jadi saya hulukan sedikit duit kepadanya, namun pakcik tu enggan terima.

“Dia cakap kalau saya nak pergi makan, dia boleh ikut sebab nak minum air panas sahaja.

“Jadi saya pun pergi ke kedai kat dalam TBS tu, belikan lima buku roti, air mineral dan air panas. “Sebaik sahaja saya serahkan makanan, pakcik tu peluk saya sambil menangis mengucapkan “terima kasih nak”.

“Ketika itu saya seperti mahu menangis, kalau bab-bab ni saya memang ‘hati tisu’ sedikit.

“Tidak lama selepas itu saya terpaksa tinggalkan pakcik kerana Grab dah sampai,” jelas pemuda dari Pekan Pahang ini.

Posting Armin yang mendapat ramai perhatian pengguna Twiiter.

Jelas Armin, dia datang ke Kuala Lumpur bagi menjalani peperiksaan Muet sebelum menyambung pengajiannya peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Januari depan.

“Saya sampai di rumah lebih kurang pukul 4 pagi Jumaat. Hati saya terkilan kerana tidak ambil sebarang ‘detail’ pakcik tu,” katanya.

Kata pemuda itu, dia berkongsi kisah pakcik itu di Twitter selepas solat Jumaat lalu dan tidak menyangka ramai yang ‘retweet’  dan beri respon untuk membantu.

“Masalahnya saya tak tahu detail pakcik. Ada yang cakap orang panggil dia ‘Pak Majid’ dari Kedah.

“Semalam, saya pergi lagi cari pakcik tu di TBS bersama dua lagi kawan dan kenalan Twitter.

“Lebih kurang 3-4 jam jugalah kami berpusing-pusing cari, malangnya tak nampak kelibat pakcik tu.

 Armin terkejut apabila Neelofa turut memberi respon untuk postingnya.

“Ada orang cakap nampak dia naik LRT berhenti di HKL. Macam-macam maklumat yang saya dapat.

“Malah ada juga orang cakap pakcik ni ‘scammer’. Tetapi saya hanya berfikiran baik sahaja kerana pakcik ni bukan meminta-minta duit ketika di TBS. Saya yang pergi tegur dia dulu,” katanya.

Tambah Armin lagi, sebelum dia pulang ke Kuantan Isnin ini, memang niatnya untuk bertemu pakcik tersebut.

“Saya nak tanya dia lebih detail lagi, mana keluarga, kampung dia dan lain-lain.

“Dan kalau betul dia scammer pun, saya nak tanya juga mana anak-anak dia, kenapa tinggal di situ (TBS),” katanya.

Menurut Armin, ramai yang ingin memberi sumbangan kepada warga emas itu dan dia akan cuba cari untuk dapatkan maklumat seperti nombor akaun dan sebagainya.

“Ada juga netizen lain yang ingin memindahkan wang untuk diberikan kepada pak cik, tetapi saya tidak berani terima sumbangan itu kerana tidak tahu di mana pakcik itu sekarang,” ujarnya. 

Malah Armin turut terkejut apabila selebriti terkenal tanah air, Neelofa turut retweet postingnya itu.

"Kawan saya ada beritahu Neelofa ada respon posting itu. Saya gembira kerana ramai yang prihatin. Cuma sekarang ini saya masih mencari kesahihan kisah pakcik ini. Apa jua keadaan dia, saya harap dapat bertemunya lagi," tambah Armin.

Pakcik , TBS , tunggu anak

Artikel Lain