“Orang kata saya tak ada masa depan” - Budak Gerik rasa macam nak menangis jejak Australia! - Viral | mStar

“Orang kata saya tak ada masa depan” - Budak Gerik rasa macam nak menangis jejak Australia!

Acap S menjejak kaki ke Perth, Australia pada usia 22 tahun. Foto ihsan Acap S

REZEKI Allah itu bukan terletak pada sehelai kertas. Selagi ada usaha, doa dan tawakal, sesiapa sahaja mampu mencapai impian dan cita-cita masing-masing.

Kata-kata itu sentiasa menjadi pegangan hidup penghibur Bigo, Mohamad Asraf Jaafar yang berjaya merealisasikan impiannya untuk ke luar negara menggunakan wang simpannya walaupun tidak berpendidikan tinggi.

Video Mohamad Asraf atau lebih mesra disapa Acap S menaiki kapal terbang dan menjejakkan kaki ke luar negara buat pertama kali yang dimuatnaiknya di YouTube tahun lalu menjadi tular selepas dikongsi seorang pengguna Twitter baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Nak kurus sambut Aidilfitri, jejaka 'comel' cabar diri 30 hari menari K-Pop, "Tangan saya menggeletar takut kena kecam"

Perkongsian video tersebut oleh BangRoti pada 19 Mei lalu mendapat hampir 500,000 tontonan dan diulang kicau 30,500 kali serta menerima 26,100 tanda suka.

Kebanyakan netizen memberikan reaksi positif dan gembira menonton video penuh inspirasi itu.

Posting BangRoti mengenai video travel Acap S menjadi tular di Twitter.

Acap S ketika dihubungi mStar memberitahu dia tidak menduga video yang diambilnya dua tahun lalu itu menjadi perhatian netizen memandangkan dia hanya ingin berkongsi kenangan pergi ke luar negara buat pertama kali dalam hidupnya.

"Saya tak sangka viral sebab saya post video tu tahun lepas dekat YouTube. Video tu sebenarnya lebih kepada motivasi. Saya nak kata rezeki Allah tu bukan dekat kertas sahaja tapi bergantung pada usaha. Kita usaha, kita kerja mesti boleh punya.

"Berapa ramai businessman yang ada SPM? Cuma kadang-kadang ada orang DM (direct message) saya tanya bro macam mana nak jadi kaya. Saya bukan Datuk Aliff Syukri... Dato Seri Vida cuma saya dapat capai impian saya nak pergi luar negara itu... Alhamdulillah guna duit sendiri," katanya.

Pemuda dari Gerik, Perak itu berkata perjalanan hidupnya bukan mudah dan dia melakukan banyak kerja sebelum dapat menjadi dirinya pada hari ini.

"Saya pernah belajar Diploma dan berhenti sebab arwah bapa saya sakit. Saya pula jenis tak suka belajar dan saya akui belajar sebab mak saya. Bila saya belajar arwah ayah sakit teruk. Saya berhenti dan kakak-kakak saya cakap nanti kau nak kerja apa.

"Masa tu bulan puasa kali pertama belajar luar. Waktu tu saya depress teruk. Saya balik kampung orang gelak. Hari-hari saya menangis sampai tanya diri sendiri betul ke saya ni sampah. Saya sampai trauma call semua syarikat tanya ada kerja kosong dan tanya abang yang jawab call tu kerja apa.

"Seram sebab orang kata saya tak ada masa depan. Padahal masa tu umur 19 tahun belum matang. Lepas tu saya bangkit. Macam-macam kerja saya buat... kerja di kafe dan bazar Ramadan sehinggalah DJ kahwin. Saya kerja ni semua gaji sikit-sikit," katanya.

Acap aktif sebagai penghibur Bigo sejak dua tahun lalu.

Namun pemuda berusia 24 tahun itu berkata kehidupan berubah selepas dia menjadi penghibur Bigo pada 2017.

"Saya kumpul duit tak lama selepas saya main Bigo. Mungkin pandangan orang Bigo lucah tapi saya buktikan yang Bigo ni ada ustaz ceramah ada budak pelawak. Saya tak kata saya budak baik, saya pun ada nakal-nakal juga dulu-dulu.

"Lepas tu saya berubah... saya macam nak capai impian saya nak pergi luar negara tapi saya tak tahu cakap orang putih. Saya simpan duit dalam bank, bila dapat gaji saya bahagikan 50-50. Kemudian ada kawan saya ajak pergi Australia jadi saya pun excited.

"Waktu tu saya belum beritahu mak saya. Saya keluarkan duit dulu saya belikan dia perfume nak pujuk mak. Bila cakap kat dia nak pergi Australia mak terkejut tanya ada duit ke, dapat duit dari mana? Saya cakap adalah duit simpanan lepas tu dia pun benarkan," katanya.

Berapa ramai businessman yang ada SPM? Cuma kadang-kadang ada orang DM (direct message) saya tanya bro macam mana nak jadi kaya. Saya bukan Datuk Aliff Syukri... Dato Seri Vida cuma saya dapat capai impian saya nak pergi luar negara itu... Alhamdulillah guna duit sendiri.

MOHAMAD ASRAF JAAFAR

Penghibur Bigo

Ditanya mengenai pengalaman pertama kalinya menjejak kaki ke Perth, Australia dua tahun lalu, anak bongsu daripada 10 beradik itu berkata dia hampir menitis air mata kerana terlalu gembira.

"Waktu tu nak nangis dalam video tu sebab teruja. Tambah pula kali pertama naik kapal terbang sebab itu memang impian sewaktu saya sekolah menengah. Lagipun itu kali pertama pergi ke luar negara. Saya ni bukanlah orang yang pandai.

"Saya sampai Australia itu jakun lain macam sebab saya ni pergi Sabah pun tak pernah. Tiba-tiba dapat pergi Australia itu yang happy sangat-sangat. Jadi bila dekat luar airport tu saya buatlah video sebab orang kata kalau pergi luar negara buat video banyak-banyak.

Acap melancong ke Perth, Australia bersama rakan-rakannya. Foto ihsan Acap S

"Kenangan tu benda paling mahal... memang betul ia akan kita ingat sampai bila-bila. Walaupun saya ni tak reti cakap orang putih tapi saya selamba je cakap. Sekarang dah ok boleh cakap Inggeris sikit-sikit, dulu sepatah-patah. Tapi bagi saya jangan malu-malu, beranikan diri walaupun orang gelakkan kita kalau tersalah cakap," katanya.

Sementara itu, Asraf berkata dia juga percaya kuasa bersedekah kepada orang lain dan juga binatang antara punca dia sentiasa dimurahkan rezeki.

"Orang jangan fikir saya ada Mustang ke Ferrari ke... saya cuma naik Proton Saga saja. Saya bukanlah kaya tapi saya berjaya capai impian saya. Saya tak pernah putus duit sebab selalu amalkan sedekah beri kucing makan. Saya kalau tak ada duit pun saya beri kucing makan.

"Sebab tu saya kata rezeki Allah tak pernah salah alamat. Bukan saya cakap saya baik, semua orang ada masa silam tapi ni benda betul. Nenek saya dia suka sedekah saya ikut perangai dia. Kalau pergi mana malam-malam, duit RM1 penuh kocek nak bagi semua rasa.

"Kawan-kawan saya cakap kau duit tak ada nak bagi-bagi orang. Saya cakap tak apa. Bukan kita bagi hari ini dapat hari ini tapi kita usaha, doa dan tawakal itu yang Allah pandang sebenarnya. Kalau kita dah naik jangan rasa bangga diri tapi ikutlah resmi padi, makin tinggi makin menunduk," katanya.

Acap S , penghibur Bigo , melancong , Australia

Artikel Lain