“Sepupu tegur kena tengking, suami saya dikata nak tunjuk samseng” - Isteri kesal, dedah sikap AJK masjid nak balik awal - Viral | mStar

“Sepupu tegur kena tengking, suami saya dikata nak tunjuk samseng” - Isteri kesal, dedah sikap AJK masjid nak balik awal

Foto AJK masjid berkenaan yang sempat dirakam oleh Khairunnisa pada Ahad lalu.

TERKEJUT dan terkilan, begitulah luahan seorang wanita apabila dia berdepan peristiwa yang tidak disangka-sangka di sebuah masjid di Ipoh, Perak, Ahad lalu.

Menurut Nur Khairunnisa, seorang ahli jawatankuasa (AJK) di masjid tersebut seolah-olah menghalau dia, suami dan seorang lagi sepupunya sewaktu mereka singgah untuk bersolat di lokasi itu.

"Masa tu kami dalam perjalanan dari Butterworth ke Bangi. Baru balik kenduri dan kami bertiga menaiki dua buah motosikal.

"Belum pukul 9 malam lagi, jemaah masjid semua baru habis menunaikan solat Isyak. Sewaktu saya sedang solat, AJK tu tutup lampu dan tutup kipas. Selepas habis solat, saya tengok dia ada di pintu bahagian jemaah perempuan.

"Dia berkeras cakap nak tutup pintu dan nak kunci pagar. Dia kata nak solat jangan sampai menyusahkan orang," kata wanita berusia 25 tahun itu sewaktu dihubungi mStar pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: “Bayi sempurna, urusan cepat” - Dipermudah selepas 'ditolak' kerana duit urus jenazah tak cukup RM300

Selain itu, AJK masjid berkenaan turut didakwa menutup lampu tandas sewaktu seorang lagi individu tidak dikenali sedang berada di dalamnya.

Dia berkeras cakap nak tutup pintu dan nak kunci pagar. Dia kata nak solat jangan sampai menyusahkan orang.

NUR KHAIRUNNISA

Malah, lelaki itu turut menggelarkan suami Khairunnisa, Muhammad Fakhrurazy, 27, sebagai samseng dalam kejadian itu.

"Sewaktu bertemu di pagar masjid, sepupu saya tegur dia, tanya nak pergi mana? Tapi terus dia tengking.

"Suami saya cakap kalau nak balik awal, jangan pegang kunci masjid. Dia sempat cakap suami saya nak tunjuk samseng sebelum dia berlalu pergi menaiki motor," kata Khairunnisa.

Paparan skrin perkongsian Khairunnisa. Dia bagaimanapun sudah memadam tweet berkenaan.

Mengulas penularan peristiwa itu, Khairunissa mengakui tidak menyangka bahawa ia akan menarik perhatian ramai.

Dia bagaimanapun sudah memadam tweet berkenaan yang menerima lebih 7,000 ulang kicau (Retweet).

Tidak berniat untuk memburukkan masjid atau membuka aib lelaki berkenaan, Khairunnisa menegaskan dia sekadar mahu berkongsi mengenai pengalaman yang dilaluinya sahaja.

"Bila saya post, ada juga yang cakap mereka pernah berdepan pengalaman sama. Ada juga yang bercerita mengenai AJK tersebut.

"Bukan nak burukkan dia, tapi ada orang cakap dah banyak kali tegur dia mengenai hal itu sebelum ini.

"Pada saya, sepatutnya kita raikan orang yang nak datang ke masjid. Ada orang yang datang dari jauh, nak tumpang berehat dan solat sekejap sahaja," kata Khairunnisa lagi.

Artikel Lain