Kecoh! 3 gadis berhijab tapi 'bawah' terdedah... “Boleh juga tegur dalam hati” - Mufti - Viral | mStar

Kecoh! 3 gadis berhijab tapi 'bawah' terdedah... “Boleh juga tegur dalam hati” - Mufti

Gambar tiga wanita berhijab tetapi berseluar pendek dan skirt tular di media sosial.

KEBIASAANNYA kisah wanita berhijab, khususnya artis dan selebriti yang mengambil keputusan untuk membuka tudung akan kecoh, tetapi kini tular pula wanita yang bertudung tetapi hanya berseluar pendek.

Bukan seorang, tetapi tiga wanita bertudung tampil seksi apabila hanya berseluar pendek dan memakai skirt dikesan di tempat awam.

Dua gambar mereka kini tersebar di media sosial dipercayai dirakam di hentian bas Terminal Bersepadu Selatan (TBS), tetapi tidak dinyatakan bila kejadian dirakamkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Emma Maembong ‘diserang’ kongsi foto buka tudung, rela jual nasi lemak jika tiada rezeki bidang seni

ARTIKEL BERKAITAN: Selesa imej sekarang, Uqasha Senrose tak nak orang bercakap tentangnya lagi

Tanpa segan silu, ketiga-tiga wanita berkenaan berdiri dengan berseluar dan skirt pendek sehingga menampakkan paha masing-masing di tanpa menghiraukan orang sekeliling.

Tindakan mereka membangkitkan kemarahan netizen kerana didakwa tidak sensitif dengan pemakaian wanita beragama Islam.

“Buat malu je, baik tak payah pakai tudung,” ujar Amir Caldina dengan nada kesal.

Seorang pengguna Facebook turut membuat kenyataan berbentuk tanggapan sendiri terhadap gambar-gambar yang ‘menyakitkan mata’ itu.

“Selagi ada paha yang cantik dan nak tunjuk-tunjuk kat orang lain, tunjuk je lah. Free show maa. Tapi pakai tudung dengan skirt atau seluar pendek? Hmm agaknya fesyen baharu kot,” sindirnya.

Tanpa segan silu, beberapa wanita berhijab hanya berseluar pendek dan skirt di khayalak ramai.

Walaupun ada yang mengatakan ketiga-tiga wanita itu mungkin pelancong asing dan bukan beragama Islam, tetapi pemakaian mereka yang tidak sopan itu tetap dianggap tidak wajar.

“Mereka pelancong? Kenapa mereka berani berpakaian begitu? Jawapannya kerana mereka melihat ramai orang (tempatan) pakai tudung tapi tersembul buah dada, seluar ketat, baju lengan pendek jadi mereka ingat tudung hanya sekadar fesyen,” ujarnya.

Namun, terdapat pandangan yang berbeza bahawa pelancong asing bukan Islam itu mungkin tertarik dengan pemakaian hijab oleh segelintir rakyat Malaysia.

“Mereka adalah pelancong bukan Islam dari luar negara, mereka tertarik dengan pemakaian tudung oleh rakyat Malaysia, tu yang mereka beli sebagai kenang-kenangan untuk dibawa pulang dan cuba pakai.

“Itu sahaja, hanya perkara kecil. Doakan semoga menjadi asbab (sebab-sebab) mereka mendapat hidayah petunjuk. Amin,” tambahnya.

Komen seorang netizen mengenai gambar yang tular di media sosial.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, memakai pakaian hendaklah mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh syarak walau dengan fesyen terkini sekalipun.

Kalau sebar gambar tersebut tanpa meneliti perkara tersebut walaupun mereka bukan Islam, nanti orang lain boleh keliru bahawa mereka adalah orang Islam. 

MUFTI KELANTAN

Menurut beliau, aurat perempuan adalah seluruh badan selain muka dan dua kawasan telapak tangan.

“Aurat hendaklah ditutup keseluruhannya tidak boleh menutup sebahagiannya manakala sebahagian yang lain pula didedahkan. Bahkan haram melakukan perkara tersebut,” kata Zulkifli dalam satu kenyataan di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bagi menjawab soalan mengenai hukum berpakaian mengikut trend zaman sekarang.

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad ketika dihubungi mStar berkata, sekiranya ketiga-tiga wanita tersebut adalah bukan Islam, maka mereka tidak terikat dengan hukum agama yang mewajibkan mereka untuk menutup aurat.

Beliau bagaimanapun menegaskan kepada masyarakat supaya tidak menyebarkan gambar-gambar tersebut kerana ia akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

"Kalau sebar gambar tersebut tanpa meneliti perkara tersebut walaupun mereka bukan Islam, nanti orang lain boleh keliru bahawa mereka adalah orang Islam. Ia sekali gus memberi imej buruk kepada agama Islam.

"Kalau mereka adalah orang Islam, ia merupakan tindakan mempersendakan hukum agama," katanya.

Mohamad Shukri Mohamad.

Dalam pada itu, Mohamad Shukri berkata, ia bergantung kepada bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap undang-undang kecil berhubung tindakan ketiga-tiga wanita itu berpakaian sedemikian di tempat awam.

Masyarakat pula, jelasnya, mereka boleh membuat teguran sekiranya mampu melakukannya dengan cara baik.

"Islam mengajar kita untuk membuat teguran - tegur dengan tangan yang mana ini bergantung kepada bidang kuasa pihak berkuasa tempatan untuk menahan. Teguran secara lisan dengan menegur secara bijaksana dan memberi penjelasan yang tepat sekiranya kita faham.

"Teguran yang ketiga ini adalah wajib bagi sesiapa saja yang memandang iaitu teguran di dalam hati iaitu bersangka baik dan mengharapkan wanita berkenaan akan berpakaian lebih sopan atau diberikan hidayah untuk menutup aurat. Teguran dalam hati itu adalah doa," katanya.

Artikel Lain