Selesa imej sekarang, Uqasha Senrose tak nak orang bercakap tentangnya lagi - Hiburan | mStar

Selesa imej sekarang, Uqasha Senrose tak nak orang bercakap tentangnya lagi

Uqasha mahu perbetulkan diri terlebih dahulu. Foto: SHAARI CHEMAT.

PELAKON Uqasha Senrose memberitahu dia tidak mahu membuat keputusan terburu-buru sehingga menyebabkan orang bercakap buruk tentang dirinya.

Uqasha atau Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 27, berkata dia menyedari menutup aurat sepenuhnya adalah kewajipan namun ingin melakukan dengan seikhlas hati kerana Allah.

"Saya pernah tak bertudung, bertudung dan kembali tidak bertudung. Saya tak nak buat keputusan drastik yang boleh orang bercakap buruk tentang saya lagi.

"Kita dah tahu, kita bertudung untuk apa, untuk kita dengan Tuhan dan bukan untuk menarik perhatian orang. Selepas ni, nak buat sesuatu keputusan biarlah saya fikir panjang.

ARTIKEL BERKAITAN: Terpalit isu buka tudung, Uqasha Senrose tidak layak nasihati Emma Maembong


Uqasha menyedari memakai tudung adalah satu kewajipan.

"Saya nak benda tu datang dari hati dan lakukan kerana Allah. Memang memakai tudung tu wajib tapi biar saya lakukan perlahan-lahan dan ikhlas," katanya kepada mStar Online.

Sebelum ini pelakon drama Spanar Jaya X mengambil keputusan untuk membuka tudung pada Ogos 2016 selepas tiga tahun berhijab.

Kata Uqasha, dia mengakui keputusan bertudung sebelum ini disebabkan situasi dan usia muda yang ingin membuat keputusan terburu-buru.

"Sebenarnya situasi ketika itu yang buat saya ingat sudah bersedia untuk bertudung. Masa tu pula masih muda, buat keputusan terburu-buru.

"Bila ambil keputusan untuk tidak pakai tudung, lebih baik khilaf-khilaf yang pernah saya buat tu, saya perbetulkan dan perbaiki diri lagi.

Kita dah tahu, kita bertudung untuk apa, untuk kita dengan Tuhan dan bukan untuk menarik perhatian orang.

UQASHA SENROSE

Pelakon

"Insya-Allah satu hari nanti jalan saya dah betul dan mahu tambah kebaikan dengan bertudung semula. Buat masa sekarang, saya selesa dengan penampilan ini," ujarnya.

Dalam pada itu, kakak kepada pelakon Nelydia Senrose ini menganggap segala kritikan dan kecaman sebagai pengingatan untuk dia tidak lupa diri.

"Apa sahaja orang cakap fasal saya itu adalah untuk kebaikan saya juga. Untuk kita beringat. Kalau orang tak tegur, takut kita lupa diri.

"Bagi saya, perlu juga orang bercakap untuk kita dengar. Untuk menegur kita yang kadang-kala rasa diri hebat sangat," katanya.

Uqasha Senrose