“Dia bagi bukan sebab saya tak cantik” - Gadis 'kurang keyakinan diri' terharu kekasih hadiah mekap - Viral | mStar

“Dia bagi bukan sebab saya tak cantik” - Gadis 'kurang keyakinan diri' terharu kekasih hadiah mekap

Jyeristia dan Daniel mula berkenalan sekitar dua tahun lalu.

SIAPA yang tidak gembira sekiranya diberi kejutan oleh insan tersayang?

Itulah yang berlaku terhadap seorang gadis yang menerima hadiah alat solek daripada teman lelakinya sehingga kisah itu menjadi tular di laman Twitter.

Berusia 20 tahun, Jyeristia Enmenia yang berasal dari Sarawak memuat naik foto hadiah berkenaan dan ia menerima hampir 2,000 ulang kicau (Retweet).

Menurut gadis yang menetap di Rawang, Selangor itu, teman lelakinya, Daniel Zulkfili, 22, menghadiahkannya highlighter berkenaan supaya dia menjadi lebih yakin dengan kecantikan sendiri.

Jyeristia enggan melayan segelintir respon negatif yang diterimanya di laman Twitter.

“Saya selalu cakap saya tak cantik, kurang keyakinan diri bila tengok orang yang lebih cantik. Jadi dia tak nak dengar saya cakap macam tu, dia nak saya yakin pada diri sendiri.

“Dia bagi hadiah tu pun bukan sebab saya tak cantik, cuma dia kata nak saya jadi lebih yakin diri dan berhenti rasa rendah diri," ujar Jyeristia ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Mula berkenalan di laman Instagram sekitar dua tahun lalu, Jyeristia menyifatkan teman lelakinya yang berusia 22 tahun itu sebagai insan yang cukup memahami.

Saya gembira bila mereka ada usaha untuk gembirakan teman wanita masing-masing.

JYERISTIA ENMENIA

Malah, lelaki itu juga sering ada bersamanya sewaktu susah dan senang, sepanjang perhubungan mereka.

“Dia seperti kawan baik saya, selalu tolong saya. Itu yang buat saya tertarik.

“Saya post di Twitter tu pun bukan untuk menunjuk, sebaliknya saya nak dia tahu yang saya hargai usaha dia,” kata Jyeristia lagi.

Tambah gadis itu, dia tidak pernah meminta alat mekap berkenaan dan tidak menyangka lelaki itu cukup memahami keinginannya.

Malah, dia juga gembira kerana teman lelakinya berjaya mendapatkan item itu yang sering kehabisan stok sebelum ini.

Paparan skrin tweet tular berkenaan.

“Sebenarnya saya memang nak beli sendiri tapi selalu habis stok. Saya selalu retweet pasal produk tu.

“Tak sangka dia faham, Isnin lepas dia kata nak datang bawa coklat, tetapi dia bagi alat mekap tu,” ujarnya lagi.

Mengulas respon negatif segelintir pelayar Twitter yang kurang senang dengan perkongsian berkenaan, Jyeristia berkata dia enggan melayan sebarang elemen negatif di laman sosial.

Selain segelintir respon negatif, terdapat beberapa individu yang turut menghantar mesej (direct message) kepadanya berhubung perkara itu.

“Ada yang tak puas hati, tapi saya tak nak layan. Ada juga lelaki yang DM saya tanya pasal produk tu, tanya mana nak beli.

“Saya gembira bila mereka ada usaha untuk gembirakan teman wanita masing-masing. Saya rasa positif apabila ada orang yang nak gembirakan orang lain, itu sahaja,” katanya lagi.

teman lelaki , mekap , hadiah , kejutan

Artikel Lain