suria

"Lebih pedih daripada soalan bila nak kahwin kepada si bujang" - Dugaan PU Amin ditanya jemaah pasal dompet

PU Amin kini sedang menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah.

KEHILANGAN dompet yang berisi wang RM3,000 serta dokumen penting benar-benar menduga pendakwah bebas dan Pencetus Ummah (PU) Amin.

Beliau yang kini berada di Tanah Suci Makkah bagi mengerjakan umrah, berdepan ujian apabila dihujani soalan dalam kalangan jemaah mengenai insiden itu.

"Jemaah umrah Malaysia kat sini tanya saya, “Dah jumpa ke dompet?”.

“Soalan ini sangat pedih, lebih pedih (daripada) soalan bila nak kahwin kepada si bujang," katanya.

PU Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim berkata, tiada perkembangan atau maklumat terbaharu berhubung kehilangan dompetnya sejak Ahad lalu.

"Tak ada lagi, senyap saja. Adalah sikit-sikit perbelanjaan saya. Pasal belanja saya tak kisah, saya cuma ralat duit sedekah yang hilang lebih RM2,000 tu," katanya kepada mStar Online menerusi WhatsApp, sambil menambah beliau menggantikan wang derma yang hilang itu.

ARTIKEL BERKAITAN: "Duit itu bekalan, kiriman orang ingin bersedekah di Makkah" - PU Amin hilang dompet, wang tunai RM3,000

PU Amin yang baru selesai melakukan ziarah di Madinah berkata, beliau berterima kasih kepada mereka yang membantu dan terus mendoakan demi kebaikan bersama.

"Moga harapan saya untuk jumpa kembali barang yang hilang akan dimakbulkan Allah SWT," katanya.

PU Amin menyifatkan setiap ujian itu akan lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Bagi mereka yang mengalami nasib sama, katanya, setiap ujian itu akan lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Ini kerana katanya, kadang-kadang manusia lupa dan cuba melupakan dugaan yang dihadapi tetapi orang lain masih mengingatkan diri tentang kesedihan itu.

"Jadi tiap kali orang ulang dan ulang duka cita yang kita hadapi, maka lafazkan istighfar dan ucapan alhamdulillah.

"Jangan terbeban dengan ujian hari ini kerana dalam hidup kita berapa banyak ujian yang dah kita lalui dan berjaya mengharunginya dengan baik, Allah pasti bagi jalan keluar.

“Percayalah ada hikmah yang tersembunyi di sebalik ujian itu," tambahnya.

PU Amin turut menyarankan supaya memperbanyakkan doa untuk orang lain sekiranya mahu doa sendiri dimakbulkan dan rintihan didengari Allah SWT.

"Sebab itu saya minta doa-doa daripada orang ramai yang nak berdoa apa sahaja dan kemudian saya panjangkan di tempat tempat mustajab doa di sini. 

"Doa saya bukanlah terbaik, tapi dengan niat mendoakan orang lain adalah jalan untuk Allah SWT memakbulkan doa kita," katanya sambil menambah bahawa hadis Nabi Muhammad SAW menyebut “Permudahkan urusan orang lain, Allah SWT akan memudahkan urusan kita.”

Ahad lalu, PU Amin kehilangan dompetnya selepas tertinggal di tandas kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gambang, hanya beberapa jam sebelum beliau berlepas ke Tanah Suci Makkah.

Selain dokumen penting termasuk kad pengenalan dan kad tauliah pengajar agama, beliau turut kehilangan RM3,000 untuk bekalan di Makkah termasuk sumbangan orang ramai yang mahu bersedekah di Tanah Suci.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
PU Amin, Makkah, umrah, jemaah

Artikel Lain