"Saya rela digelar anak mak" - Bakal guru serik 'dibayar cash' selepas sepak kerusi depan ibu - Viral | mStar

"Saya rela digelar anak mak" - Bakal guru serik 'dibayar cash' selepas sepak kerusi depan ibu

MENJADI kewajipan setiap anak untuk sentiasa patuh kepada kedua ibu bapa, malah apa gunanya hidup jika tidak mendapat keredaan insan yang melahirkan dan membesarkan kita.

Di laman Twitter misalnya, perkongsian Muhammad Danial Haiman Mohd Shazimi mengenai nasib malang yang menimpanya akibat tidak mendengar kata ibunya menjadi tular dan menarik perhatian ramai.

Menurut penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Cheras yang berusia 21 tahun itu, dia terlibat dalam kemalangan jalan raya setelah keluar rumah tanpa mendapat izin ibunya sekitar 2013 lalu.

"Pada waktu itu saya sedang menunggu keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Saya minta izin dengan mama untuk keluar jamming tapi dia tak bagi.

"Abah pula menghadiri kursus di Terengganu. Mama tak bagi keluar sebab risau kalau jadi apa-apa, abah tak ada.

"Saya memberontak dan sepak kerusi di depan mama, tapi esoknya saya tetap keluar juga, senyap-senyap tanpa minta izin.

"Sewaktu perjalanan pulang, saya ingatkan ada sekatan jalan raya. Saya buat pusingan U tanpa toleh belakang sebab tak ada lesen, terus motor saya kena langgar," ujarnya sewaktu dihubungi mStar Online pada Selasa.

Danial bersama ibunya, Che Salwana dan bapa, Mohd Shazimi.

Mengimbas kembali peristiwa yang berlaku di Bachok, Kelantan itu, dia mengaku menyesal akibat tidak mengendahkan larangan ibunya, Che Salwana Yusoff yang juga seorang guru Matematik.

Akibatnya, motor yang dinaiki Danial tercampak sejauh 40 meter dan dia pula mengalami kecederaan retak di bahagian lutut.

Tambahnya lagi, dia juga mengambil masa hampir dua bulan untuk sembuh daripada kecederaan tersebut.

"Apabila mengalami cedera di kaki, terus saya teringat sewaktu saya sepak kerusi di depan mama apabila dia tak izinkan saya keluar.

"Perkara itu jadi pengajaran kepada saya sampai hari ni. Walaupun sudah berumur 21 sekarang, saya akan minta izin dengan mama kalau nak keluar.

"Saya lebih rela digelar anak emak daripada digelar anak derhaka," katanya lagi.

Paparan skrin perkongsian Danial yang tular di Twitter.

Mengulas perkongsiannya di laman Twitter yang menerima lebih 10,000 Retweet (ulang kicau), Danial mengakui dia sekadar berkongsi kisahnya sebagai respon kepada tweet seorang individu yang berkongsi kisah serupa.

Tambah anak sulung daripada tiga beradik itu, dia juga mahu sesiapa yang membaca perkongsian tersebut agar mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku ke atas dirinya.

Dalam pada itu, rata-rata netizen turut membanjiri ruangan komen tweet Danial dan turut berkongsi kisah mereka.

"Sama macam kes adik aku sebijik. Nak keluar malam umi tak bagi, keluar jugak dengan motor, nak balik rumah eksiden sampai masuk hospital. Menangis dia mintak maaf dengan umi," tulis @fizafantagirO.

"Weeeeh sama doooo, mak tak bagi keluar pastu keluar gak, terus accident huhuh," tulis @aisymrdh pula.

Lebih Artikel