“Ayah bilal masjid, tapi tak pernah merasa pergi umrah” - Anak ‘hancur’ SPM buat bapa menangis selepas ubah nasib keluarga - Viral | mStar

“Ayah bilal masjid, tapi tak pernah merasa pergi umrah” - Anak ‘hancur’ SPM buat bapa menangis selepas ubah nasib keluarga

BAGI individu yang dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan, mereka pastinya mahu berusaha untuk mengubah nasib dan masa hadapan keluarga.

Begitulah juga dengan Muhammad Faiz Ramly, 31, yang berkongsi kisah hidupnya sehingga tular dan menerima lebih 11,000 ulang kicau (retweet) di laman Twitter.

Menerusi posting pada Jumaat, dia bercerita mengenai kegagalannya di peringkat sekolah, suatu ketika dahulu.

Bagaimanapun, keengganan Faiz untuk berputus asa membolehkan dia kini bekerja sebagai pensyarah separuh masa sambil melanjutkan pelajaran di peringkat Doktor Falsafah (PhD), di Universiti Malaya (UM).

Paparan skrin perkongsian Faiz di laman Twitter.

Bercerita kepada mStar Online, Faiz mengakui keluarga menjadi pendorong utama di sebalik kerja kerasnya selama ini.

"Ayah saya merupakan petani, ibu pula suri rumah. Kami ada sembilan adik-beradik, yang mana saya merupakan anak ketiga.

"Saya pernah terfikir tak nak sambung belajar, nak kerja untuk bantu keluarga. Kakak saya juga rela tak sambung diploma sebab nak bantu keluarga.

"Tapi saya teruskan usaha, walaupun gagal, saya teruskan lagi sehingga sekarang buat PhD yang akan habis dalam setahun setengah lagi," ujarnya sewaktu dihubungi, Isnin.

Menurut Faiz lagi, beberapa kejadian yang berlaku dalam hidupnya turut menyentuh hati sehingga dia sanggup bekerja keras untuk mengubah nasib keluarga.

Malah, dia juga pernah berpuasa selama dua hari dan hanya minum air sahaja kerana tidak cukup wang sewaktu belajar di UM, beberapa tahun lalu.


Faiz (tiga, kiri) bersama lapan orang adik beradiknya.

"Sewaktu cuti, saya balik kampung. Saya tengok, adik nak belajar tapi ayah tak ada duit. Tak mampu nak beli baju sekolah dan basikal.

"Adik saya terpaksa naik basikal tua untuk berulang ke sekolah, saya lihat depan mata sendiri adik kena ejek sebab naik basikal tu. Ia membuatkan saya nekad untuk bantu keluarga," kata Faiz.

Bercerita mengenai perjalanannya, Faiz mengambil SPM pada 2005 dan menerima keputusan yang disifatkannya sebagai 'hancur', seperti yang dikongsikan di Twitter.

Iyalah, dia petani, pada masa sama dia bilal di masjid. Selalu orang bercerita pasal umrah, haji, tapi dia tak pernah merasa. Akhirnya impian dia akan jadi nyata

MUHAMMAD FAIZ RAMLY

Dia seterusnya membuat rayuan untuk ke tingkatan enam sebelum diterima masuk hampir enam bulan kemudian, pada 2007.

Gagal di peringkat itu, dia bekerja seketika untuk mengumpul wang sebelum mengambil peperiksaan STPM sekali lagi pada 2008.

Hasil usaha itu, dia berjaya menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda (2012) dan Ijazah Sarjana (2016) sebelum meneruskan pengajian PhD dengan biasiswa penuh, pada masa ini.

"Belajar ni kalau gagal ataupun dapat keputusan teruk, macam mana sekali pun kena fikir keluarga dan masa depan sendiri. Kalau saya tak ubah, tak berkorban, siapa lagi yang akan bantu?


Mengakui minat dalam bidang akademik, Faiz kini bekerja sebagai pensyarah separuh masa bagi subjek Pengajian Malaysia di sebuah kolej swasta tempatan.

"Waktu belajar pun, 80 peratus duit biasiswa saya guna untuk keluarga dan pengajian. Selebihnya baru guna untuk diri sendiri," katanya lagi.

Bercerita mengenai keluarganya di Bachok, Kelantan, Faiz mengakui keadaan keluarganya kini bertambah baik.

Malah, hanya tinggal empat orang adiknya sedang bersekolah dan yang lain pula sudah bekerja dan berumahtangga.

"Antara impian saya ialah nak senangkan mak ayah. Nak hantar pergi umrah. Alhamdulillah, kami baru sahaja membuat kejutan itu untuk mereka minggu lepas, sewaktu cuti Tahun Baharu Cina.

"Hampir 33 tahun berkahwin, ayah dan mak terlalu banyak berkorban untuk kami sembilan beradik. Jadi kami kumpul wang hantar mereka ke tanah suci, InsyaAllah akan ke sana bulan Ramadan tahun ini.


Mendirikan rumah tangga bersama wanita pilihannya pada 2015, Faiz kini memiliki seorang cahaya mata lelaki.

"Sewaktu diberitahu, mereka memang terkejut. Kali pertama seumur hidup saya tengok ayah menangis.

"Iyalah, dia petani, pada masa sama dia bilal di masjid. Selalu orang bercerita pasal umrah, haji, tapi dia tak pernah merasa. Akhirnya impian dia akan jadi nyata," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, dia yang mendirikan rumah tangga pada 2015 sudahpun memiliki seorang cahaya mata lelaki pada Januari tahun lalu.

Menurut Faiz, dia berusaha keras agar anaknya tidak perlu berdepan situasi sama dengannya dan mendapat peluang pendidikan yang sempurna.

"Selepas lahir, anak pula jadi motivasi terbesar saya. Saya nak sediakan medium untuk masa depannya, nak bagi yang terbaik.

"Dalam membesarkan dia, saya tak nak dia rasa apa yang saya lalui, tapi pada masa sama saya akan cerita kesusahan yang saya hadapi untuk dia ambil iktibar," katanya lagi.

Artikel Lain