suria

"Apa masalah gambar Dr Mahathir?" - Dicop ‘talam dua muka’ rapat dengan Najib & Tun M, ini jawab 'abang Malu Apa Bossku’

GARA-gara tagline 'Malu Apa Bossku' miliknya yang kini menjadi ikutan ramai, sekelip mata sahaja pemuda ini menjadi tumpuan.

Tagline tersebut semakin popular apabila ia turut digunakan oleh bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi video, komen dan tanda pagarnya di media sosial.

Malah, sejak kebelakangan ini apabila muncul beberapa video pemuda berkenaan, Mohd Nor Kharoni Khamisan atau lebih dikenali sebagai Ron Kamisan bersama Najib, ia pasti tular.


Najib kini semakin popular dengan tagline 'Malu Apa Bossku'.

Bagaimanapun, ketika ‘abang Malu Apa Bossku’ dianggap sebagai seorang pengikut setia Najib, dia dituduh ‘talam dua muka’ ekoran gambar dan videonya bersama pemimpin kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan iaitu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ron memuat naik gambar tersebut di laman sosialnya, malah dijadikan 'cover photo' di akaun Facebook.

Susulan dakwaan itu, pemuda berusia 33 tahun ini tampil menjelaskan bahawa penglibatannya bersama Najib sejak akhir-akhir ini melibatkan program permotoran secara santai bersama anak-anak muda di bawah pergerakan 'Malu Apa Bossku' yang dikendalikannya.


Ron (tengah) bersama Dr Mahathir (kanan) dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Menurut pengasas tempat makan terkenal 'Lepaking' di Kuala Lumpur itu, pertemuannya bersama Dr Mahathir seperti mana yang dilihat dalam gambar di Facebooknya adalah semasa pemimpin itu masih menjadi mantan perdana menteri.

”Najib bersama kami adalah secara santai, datang berselfie dan jumpa penduduk-penduduk, tapi tak ada bercerita pasal hal politik pun.

”Pasal Dr Mahathir, saya berpeluang untuk berjumpa dengan beliau kira-kira dua minggu sebelum pilihan raya umum tahun lalu, untuk mendapatkan tandatangan beliau pada plat memorial Lepaking dan kini plak yang sama turut ditandatangani Najib," katanya kepada mStar Online.

Mengenai dirinya yang dilabel 'talam dua muka' kerana bersama dengan dua pemimpin daripada dua parti politik berbeza, Ron menjelaskan Malaysia sebagai negara demokrasi, maka setiap rakyat mempunyai hak untuk memilih.


Facebook Ron menggunakan 'cover photo' bersama Dr Mahathir.

Berasal dari Kuala Lumpur, Ron berkata, tanpa mengira pembangkang atau kerajaan, dia menyifatkan pertemuan bersama dua pemimpin itu sebagai peluang keemasan, untuk dirinya berkongsi pendapat dan pandangan mengenai anak-anak muda.

“Siapa tak nak peluang untuk bersemuka dan bercakap dengan perdana menteri atau bekas perdana menteri. Bukan setakat Najib atau Dr Mahathir, mana-mana mantan perdana menteri pun seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi sekiranya diberi peluang pun saya nak.

"Saya ni 'level' biasa-biasa' saja dan kalau jumpa mereka dalam khalayak ramai tu juga biasa, tapi kalau berjumpa secara bersemuka, duduk bersama berbual itu adalah peluang keemasan," katanya sambil menambah dia hanya bertemu Dr Mahathir sekali sebelum negara bertukar kerajaan dan beliau kembali menjadi perdana menteri.

Bukan setakat Najib atau Dr Mahathir, mana-mana mantan perdana menteri pun seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi sekiranya diberi peluang pun saya nak.

Mohd Nor Kharoni Khamisan

Pengasas Lepaking dan tagline 'Malu Apa Bossku'


Najib dan Ron bersama rakan-rakannya bagi pergerakan 'Malu Apa Bossku'.

Ron mengakui dia bertuah kerana berpeluang bersama Najib beberapa kali dan tidak menolak sekiranya diberi peluang lagi untuk bertemu Dr Mahathir pada masa akan datang.

"Saya adalah neutral dan politik ditolak ke tepi. Saya sekadar nak bantu anak-anak muda seperti membangunkan keusahawanan dan mengubah persepsi masyarakat mengenai mat-mat motor sekali gus dibawa ke tahap lebih tinggi.

”Ada yang kata bila Najib bersama mat-mat rempit beliau dikatakan menjatuhkan imej negarawan. Tapi orang ramai tak tahu orang-orang di samping Najib itu semuanya adalah usahawan, ada kereta besar, motor besar. Mat rempit sekarang bukan biasa-biasa, jangan ingat mat motor je peragut," katanya yang turut mengusahakan bisnes permotoran.


Dr Mahathir menandatangani plak 'Lepaking'.

Dilihat kini lebih menyerlah bersama Najib, pemuda yang mendapat jolokan nama 'Bossku' dan 'Boss Kita' ini turut menafikan dirinya 'opportunist' atau suka mengambil kesempatan.

“Cuma ketika ini saya mempunyai lebih banyak masa dan peluang untuk bersama Najib. Masa saya viral dengan Najib pun, saya tak padam gambar-gambar dan video saya bersama Dr Mahathir.

”Apa masalahnya letak gambar Dr Mahathir? Saya hargai sebab bangga dapat bergambar dengan beliau. Kalau saya ni 'lalang', dah lama saya padam gambar bersama . Saya tak ambil peduli kecaman netizen, malah menganggapnya sebagai 'pemasaran percuma' untuk saya dan perniagaan saya serta tagline 'Malu Apa Bossku?'," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain