Tekak rasa nak ‘lunch’ di Sabah, 5 sekeluarga beli tiket dan terus terbang - Viral | mStar

Tekak rasa nak ‘lunch’ di Sabah, 5 sekeluarga beli tiket dan terus terbang

Abul Munzeer dan keluarganya membeli tiket penerbangan secara spontan hanya untuk menikmati makanan di Sabah.

TIADA istilah jauh bagi keluarga ini yang sanggup terbang beribu batu demi menikmati hidangan tengah hari di Negeri Bawah Bayu.

Situasi itu bukan sesuatu yang luar biasa buat mereka sekeluarga yang kini menetap di Tanjung Malim, Perak sering membuat perjalanan spontan ke pelbagai destinasi di dalam dan luar negara.

Anak bongsu dari lima adik-beradik, Abul Munzeer Mohamad Isa, 22, tular di laman sosial selepas memuat naik gambar lima tiket penerbangan ahli keluarganya ke laman Twitter pada Selasa.

Menerusi posting tersebut, Abul Munzeer berkata, dia, kakak dan ibunya berbincang tentang lokasi untuk makan tengah hari sebelum bersepakat untuk terbang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada hari yang sama.

Posting yang dimuat naik oleh Abul dan meraih perhatian netizen di Twitter.

"Keluarga kami memang biasa berbincang di mana nak makan lepas selesai tunaikan solat subuh berjemaah.

"Saya pun sahaja sebut Sabah kerana kami pun dulu pernah menetap di Sandakan dan Keningau sekejap. Kemudian mak dan kakak saya pun bersetuju je," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Ahad.

Selepas memuat naik gambar tersebut, terdapat pelayar Twitter yang mengaku tidak dapat mengaitkan posting berkenaan dengan dirinya kerana dia tidak mempunyai wang sebanyak itu untuk membeli tiket penerbangan secara spontan.

Tambah Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Persekitaran dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, mereka berlima ke negeri tersebut untuk menikmati hidangan laut dan kepak ayam panggang yang cukup popular di sana.

Abul Munzeer bersama kakak, ibu dan dua anak saudaranya sebelum terbang ke KKIA.

"Lepas discuss pagi tu, kami terus beli tiket dua hari satu malam ke Sabah. Tapi, kami tak sempat nak makan tengah hari kerana tiba di KKIA pun dah petang.

"Saya, ibu, kakak dan dua lagi anak saudara menikmati makan malam di Pasar Filipina dan pulang pada keesokan harinya," ujar Abul Munzeer yang juga gemar bercuti secara solo dan spontan seperti ke Langkawi, Ipoh dan Singapura tanpa membuat perancangan awal.

Menurut pemuda itu, mereka berlima turut berkesempatan singgah di Kundasang dan Ranau dalam kunjungan tersebut.

Abul Munzeer

Artikel Lain