suria

“Gambar selfie terakhir di kubur” - Mimpi isteri akan ‘pergi’, suami terbuka hati swafoto bersama

Mohamad Khusyairi (kanan) bersama anaknya, Adi di kubur arwah isterinya, Allahyarham Ade Liyana (gambar kecil).

SATU ungkapan diulang sebanyak tiga kali - Allah, Allah, Allah dan ia menjadi perkataan terakhir yang dibisikkan seorang lelaki di saat isterinya menghembuskan nafas terakhir.

Menerusi satu perkongsian di halaman Facebook pada Jumaat, lelaki berkenaan mengimbas kembali hari isterinya dijemput Ilahi sehingga saat wanita itu dikebumikan.

“Abang bawa Adi untuk lihat wajah sayang kali terakhir... dipeluk, dicium pipi kiri, pipi kanan dan dahi sayang. Begitu juga abang buat perkara yang sama," katanya, merujuk kepada reaksi anak mereka.

“Dah tiga hari sayang pergi. Bila rindu abang cium baju sayang, abang tengok barang-barang peninggalan sayang,” katanya sambil menambah, saat paling sedih adalah ketika menonton video arwah isteri menyanyikan lagu Uji Rashid berjudul 'Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu'.

Arwah semasa dirawat di hospital. Foto Mohamad Khusyari Arrifen

Bapa seorang anak itu, Mohamad Khusyairi Arrifen, 31, memberitahu, isterinya meninggal dunia pada Selasa, akibat jangkitan paru-paru, susulan penyakit diabetis yang dihidapinya sejak usia remaja.

Walaupun reda dengan pemergian isteri, Allahyarham Ade Liyana Sapuan, 33, dia mengakui terkilan kerana tidak banyak gambar swafoto bersama arwah semasa hayatnya.

“Saya ni jenis segan untuk bergambar. Jadi, tak banyak gambar ‘selfie’ bersama sebab saya malu. Tapi, saya ada ambil gambar ‘selfie’ terakhir di kuburnya tempoh hari. 

“Dia (arwah) orang perempuan memang suka selfie. Memang selalu dia ajak selfie sama, selalu juga saya tolak. Tapi dia tahu saya segan,” katanya kepada mStar Online.

Arwah isteri Mohamad Khusyairi bersama anak mereka, Adi Ramadhan yang berusia empat tahun.

Mohamad Khusyairi bagaimanapun memberitahu sejak tahun lalu dia mula terbuka hati memenuhi permintaan isteri untuk berswafoto.

Malah antara gambar swafoto yang diturutinya adalah semasa mereka bersiar-siar bersama anak lelaki berusia empat tahun, Adi Ramadhan di sekitar kampung mereka di Felda Nitar 2, Mersing.

“Saya ni jenis sibuk bekerja, tapi suatu petang tu saya meluangkan masa bawa isteri dan anak pusing-pusing satu kampung. Hati saya juga terdetik untuk mengajaknya selfie bersama.

“Isteri pula teruja sangat untuk bergambar menggunakan telefon bimbit saya yang baru dibeli. Sejak itu, kami mula mengambil gambar bersama,” katanya.

Kepada suami-suami yang masih ada isteri... bila mereka ajak bergambar, jangan tolak. Tak semestinya kena muat naik di media sosial, tapi simpan sebagai kenangan peribadi.

Mohamad Khusyairi Arrifen

Suami

Dia yang bertugas sebagai penolong pegawai ehwal ekonomi di Majlis Daerah Mersing turut mendedahkan mengalami mimpi mengenai pemergian isterinya, seolah-olah memberi petunjuk bahawa isterinya tidak akan hidup lama. 

Mimpi yang sama dialaminya berulang kali dan kali terakhir pada bulan lalu, namun kata Mohamad Khusyairi, dia berserah kepada Allah SWT bagi sebarang kemungkinan.

Kenangan... Mohamad Khusyairi bersama isteri dan anak.

Sejak beberapa bulan lalu, dia mula mempunyai kesedaran untuk mengumpul seberapa banyak kenangan bersama isteri dan antaranya menerusi gambar-gambar.

“Dia cukup sempurna bagi saya, seorang yang lemah-lembut dan tidak pernah meninggikan suara dengan saya. Dia sakit, tapi dia pura-pura kuat kerana tidak mahu orang di sekeliling terutama saya merasai kesakitannya.

“Kepada suami-suami yang masih ada isteri... bila mereka ajak bergambar, jangan tolak. Tak semestinya kena muat naik di media sosial, tapi simpan sebagai kenangan peribadi. Jika tidak, bila sampai suatu masa nanti menyesal seperti saya,” katanya dengan nada sebak, namun akur dengan ketentuan Allah SWT.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain