suria

Parah disondol babi hutan selepas selamatkan dua beranak, “Ayah hero kami”

(gambar besar) Rakaman CCTV menunjukkan salah seorang mangsa diserang babi hutan. (Gambar kecil) Salah seorang mangsa. Foto Facebook Nurbaiti Al-habsyi

NIAT mahu menyelamatkan seorang wanita bersama anak kecilnya yang disondol babi hutan, seorang bapa  menerima nasib malang diserang haiwan itu.

Dalam kejadian di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada petang Selasa itu dikongsikan anak mangsa di halaman Facebook sehingga ia tular.

Pengguna Facebook, Nurbaiti Al-habsyi memberitahu bapa saudaranya turut berada di lokasi kejadian di kampung halamannya ketika diserang babi hutan.

“Ayah datang untuk menyelamatkan seorang kakak dan anak kecil yang disondol babi hutan. Demi menyelamatkan mereka, ayah pula diserang.

“Pakcik saya juga terkena serangan babi hutan. Sekarang ayah dan pakcik saya ada di Hospital Seberang Jaya. Doakan ayah saya ya, semoga kebaikan yang ayah lakukan ini mendapat ganjaran mulia daripada Allah SWT serta kesembuhan dan kesihatan seperti sedia kala,” katanya menurut perkongsian pada malam Selasa.

Perkongsian Nurbaiti di Facebook mengenai bapanya yang diserang babi hutan.

Menerusi video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdekatan yang kini tular, lokasi kejadian di Desa Cempedak di Tasek Gelugor itu, beberapa mangsa dilihat diserang babi hutan.

Pada petang Rabu, Nurbaiti meluahkan rasa sayang terhadap bapanya yang disifatkan sebagai wira kerana sanggup berkorban demi menyelamatkan nyawa orang lain.

“Ayah adalah hero kami yang paling terbaik. Ayah segala-galanya untuk kami. Kami tahu ayah kuat dan ayah mampu bertahan.

“Kebaikan ayah menyelamatkan orang lain akan dibalas ganjaran kesembuhan dan kesihatan sepenuhnya demi menyelamatkan dua nyawa lain,” katanya.

Mangsa dibawa ke hospital. Foto Facebook

Nurbaiti mewakili adik-beradiknya berasa bahagia kerana mempunyai insan yang bergelar bapa yang  terbaik buat mereka.

“Ayah sanggup bergelut melawan babi hutan bila diserang. Mulianya hati ayah. Kami anak-anak sentiasa mendoakan kesembuhan ayah. Ayah yang terbaik. 

“Kamu adalah hero, kami anak-anak berbangga menjadi anak-anak ayah. Kami bahagia memiliki ayah yang terbaik dalam dunia akhirat kami. Kami semua sayangkan ayah,” katanya.

Perkongsian terbaharu Nurbaiti mengenai bapanya, sehari selepas insiden.

Sementara itu, memetik laporan Astro Awani pada malam Rabu, seorang wanita bersama anaknya yang berusia setahun lima bulan cedera diserang babi hutan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, mangsa, Asmawati Hassan dipetik sebagai berkata, seekor babi hutan yang muncul secara tiba-tiba di kawasan perumahan Desa Cempedak, Tasek Gelugor.

Selepas dia terjatuh motosikal, haiwan tersebut terus menyerangnya menyebabkan dia mengalami kecederaan di bahagian kaki dan calar-calar di seluruh badan, manakala anaknya cedera di bahagian muka.

Namun, kedua-dua mereka bernasib baik apabila seorang penduduk datang menghulurkan bantuan, sebelum dia dan anaknya berlari masuk ke sebuah rumah berdekatan.

Mangsa dirawat di Hospital Seberang Jaya. Foto Facebook Nurbaiti Al-habsyi 

Seorang lagi mangsa, Wan Ibrahim Wan Ismail, 60 tahun, berkata dia baru sahaja selesai berkebun apabila diserang haiwan berkenaan dari belakang.

“Saya baru hendak masuk rumah apabila tiba-tiba saya terpelanting disondol. Haiwan tu datang dari belakang. Saya nak bangun semula tetapi babi tu sondol sekali lagi. Jadi saya sabit mata dia dan terus lari masuk pagar rumah,” katanya.

Akibat kejadian itu, ibu jari kiri Wan Ibrahim terpaksa dipotong dan tangan kanannya juga menerima beberapa jahitan.

Tambah Wan Ibrahim, abangnya Wan Idris yang menyelamatkan Asmawati dan anak kecilnya, mengalami kecederaan parah dan terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Seberang Jaya.

Menerusi ruangan komen pada perkongsian Nur Baiti di Facebook petang Rabu, dia memaklumkan bapanya dalam keadaan stabil dan telah menjalani pembedahan akibat kecederaan di bahagian paha dan tapak tangan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
babi hutan

Artikel Lain