suria

Lelaki ini tak kisah videonya tular hingga cetuskan parodi ‘uncle lidah’

SHAH ALAM: "Kalau itu menggembirakan mereka, biarkanlah," kata ahli perniagaan, S Kanagarajah berhubung klip videonya berkaitan rusuhan kuil Sri Maha Mariamman yang tular.

Sambil menyifatkan tindakan netizen yang meniru gayanya adalah melucukan, Kanagarajah berkata, dia tidak sengaja membuat mimik muka seperti itu.

Video berdurasi sembilan saat itu menunjukkan seorang lelaki dengan wajah penuh emosi ketika mengawal situasi di kuil berkenaan.

Klip video itu tular sehingga mencetuskan parodi di media sosial menggunakan #Deychallenge dan #Theyychallenge.

"Saya bukan sengaja, kalau awak tengok kawan awak muka kena potong keluar darah, kita tolong mereka pada masa itu," katanya.

Menurutnya, dia kecewa terhadap insiden yang berlaku.

"Saya buat begitu kerana terlalu kecewa dengan keadaan yang berlaku pada masa itu," katanya.

Menceritakan semula kejadian itu, dia berkata, sekumpulan lelaki memasuki kuil dengan membawa senjata tajam.

"Pada masa itu, kita adakan upacara sembahyang dan dalam kuil semua ada dalam 40 orang termasuk wanita dan orang tua.

"Jadi kami mahu lindungi mereka," katanya.

Kanagarajah berkata, apa yang berlaku tidak melibatkan isu perkauman.

"Saya boleh cakap ini 100 peratus bukan masalah perkauman kerana kita berkawan baik dengan semua orang," katanya.

Bagaimanapun, dia tidak menolak sekumpulan individu yang melakukan rusuhan itu diupah oleh pihak lain.

"Sudah tentu! Tiada orang melakukan perbuatan seperti itu percuma," katanya.

Tambahnya, dia tidak menerima sebarang ugutan dan ancaman daripada mana- mana pihak selepas video itu tular.

Isu pemindahan kuil itu telah mencetuskan rusuhan di kawasan rumah ibadat berkenaan pada awal pagi Isnin dan Selasa, yang menyaksikan seorang anggota bomba cedera parah selain perusuh turut membakar 23 kenderaan dan merosakkan cermin bangunan kompleks One City yang terletak satu kilometer dari kuil tersebut.

Seramai 30 individu ditahan polis berhubung kes tersebut.- SinarHarian

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Kanagarajah, Sri Maha Mariamman

Artikel Lain