KEBIASAANNYA, umat Islam di negara ini akan menunaikan solat sebaik sahaja azan dilaungkan di kawasan masing-masing.Namun, ramai yang tidak tahu waktu solat juga boleh berubah apabila seseorang itu berada dalam bangunan yang tinggi. Di laman X, pengguna media sosial terkejut bercampur teruja melihat poster makluman waktu solat yang ditetapkan untuk tingkat 76 dan ke atas bagi Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur.Menurut notis yang diterbitkan oleh pihak KLCC Urusharta dan kini tular, perubahan itu berkuatkuasa bermula 1 Ramadan.Ini bermakna, waktu berbuka untuk mereka yang berada di tingkat 76 ke atas juga berbeza dengan individu lain walaupun berada di bangunan dan kawasan sama."Kepada para penyewa, berdasarkan surat rasmi dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri bertarikh 26 Februari 2025, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan telah memutuskan bahawa waktu solat bagi bangunan yang melebihi 400 meter tinggi adalah seperti berikut:Maghrib: Tiga minit selepas azanSyuruk: Tiga minit lebih awalPoster makluman perubahan waktu solat yang tular di media sosial."Walaubagaimanapun, perubahan ini hanya akan terpakai bagi tingkat 76 ke atas di Menara Berkembar Petronas, berkuat kuasa 1 Ramadan 1446H," tulis kenyataan itu.Beberapa netizen meluahkan rasa terkejut memandangkan mereka tidak tahu waktu solat dan berbuka akan berubah apabila seseorang itu berada pada ketinggian tertentu."Baru tahu, lagi tinggi sebuah bangunan, lagi lambatlah waktu berbukanya."Jadi, hal sama turut terpakai untuk Menara TRX dan Merdeka 118?"Tak silap Burj Khalifa pun lagi banyak waktu dia, sebab level berbeza-beza. Konsep dia sama macam naik atas bukit."Ini adalah interesting fact (fakta menarik). Rupanya ketinggian pun main peranan dalam masuk waktu," tulis netizen.Dalam pada itu, semakan mendapati menara pencakar langit Burj Khalifa di Dubai juga mempunyai tiga zon waktu solat berbeza.Zon 1 melibatkan Aras 1 hingga 80, Zon 2 (Aras 81-50) dan Zon 3 (Aras 150 ke atas).