suria

Kes tembak di KLIA: Hafizul mengaku salah 7 pertuduhan

Tertuduh (kiri) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bahru pada Rabu atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api. Gambar fail

SEORANG pengurus syarikat agensi pelancongan berusia 38 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Kota Bharu, pada Rabu, atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api pada 15 April tahun lalu.

Tertuduh, Hafizul Hawari, yang sebelum ini mengaku tidak bersalah pada 24 April tahun bagaimanapun menukar pengakuan kepada bersalah, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mahkamah menetapkan Selasa ini untuk fakta kes dan hukuman.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki berkenaan didakwa memiliki senjata api jenis pistol tertulis Glock 19 Austria, Made in Turkey, yang menyalahi Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali jika disabitkan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki 33 butir amunisi PMC 380 Auto tanpa lesen sah mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8 akta sama. Ia memperuntukkan hukuman maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya sayang Farah” - Suspek kes tembak KLIA masih cintakan isteri

ARTIKEL BERKAITAN: Suspek kes tembak KLIA dihadap ke mahkamah, didakwa 7 pertuduhan

Sementara itu, mengikut pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memiliki satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dihukum di bawah akta sama.

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, dia didakwa memiliki tiga kad pengenalan milik tiga individu berbeza mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Menurut pertuduhan ketujuh, tertuduh didakwa memandu Honda Civic warna putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah akta sama.

Kesemua pertuduhan itu dilakukan di dalam sebuah kereta Honda Civic di perkarangan KPJ Perdana Specialist Hospital di Kota Bharu, 2 petang, 15 April tahun lalu.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh diwakili peguam Nik Mohd Faris Syazwan Zainuzzaman.

Pada 24 April 2024, tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang atas tuduhan cuba membunuh isterinya dan mencederakan pengawal peribadi mangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 14 April lalu.

Dia mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.

Artikel Lain