KK Supermart & Superstore Sdn Bhd(KK Supermart) menggantung urusan perniagaan bersama sebuah syarikat pengeluar 'sandwich ham & cheese' susulan dakwaan penjualan produk yang diragui status halalnya di premis kedai serbaneka itu. KK Supermart dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa hanya 16 cawangan KK Concept Store sahaja yang mempunyai kemasukan produk tersebut. "Penjelasan dari kami adalah, pihak syarikat itu telah mengemukakan sijil Halal bagi Chicken Ham (kepingan ayam) dan kepingan keju tersebut. "Tulisan dipamerkan pada bungkusan roti sandwich tersebut serta penulisan perkataan ini adalah daripada pihak tersebut," katanya pada Isnin. Menurut KK Supermart, difahamkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melakukan serbuan ke atas kilang berkenaan di Sunway Damansara, Petaling Jaya. "KK Supermart juga membuat satu laporan polis pada 11 Januari berhubung perkara tersebut. Kami juga telah mengarahkan peguam untuk menghantar Surat Tuntutan (LOD) bertarikh 10 Januari kepada syarikat berkenaan," menurut kenyataan itu. Selain membekukan urusan perniagaan bersama syarikat itu, KK Supermart turut memberitahu telah menghentikan segala pemprosesan produk tersebut daripada kemasukan ke mana-mana outlet KK Concept Store sepanjang tempoh siasatan kes. Demi menjaga kepercayaan dan keselamatan pelanggan, KK Supermart akan memberi kerjasama penuh dalam memastikan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang mencemarkan keyakinan dan kesejahteraan pelanggan. "Kami sentiasa komited untuk mengekalkan standard tertinggi dalam memberi kualiti serta memastikan integriti produk kami dalam keadaan yang terbaik. "Pihak syarikat juga sentiasa memandang serius dan mengambil langkah-langkah untuk mengelakkan kejadian seperti itu berulang," menurut kenyataan itu lagi. Terdahulu, tular penemuan produk pek sandwich yang mempamerkan label ‘sandwich ham & cheese’ di kedai serbaneka itu di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube