suria

Ebit Lew tak berganjak, saman fitnah terhadap Caprice dan Mondy diteruskan... Penyokong nasihat jangan selesai luar mahkamah

Ebit bersama Akberdin (kanan) dan pasukan peguam yang mewakilinya. -Foto Instagram Ebit Lew

PERSONALITI dakwah kontroversi, Ebit Lew tetap dengan pendiriannya untuk meneruskan saman fitnah terhadap penyanyi rap dan pempengaruh media sosial, Caprice serta wanita Indonesia dikenali sebagai Mondy Tattoo.

Pendirian tegas itu dinyatakan Ebit atau nama lengkapnya Ebit Irawan Ibrahim Lew meskipun dia tidak akan didakwa atas tuduhan merogol Mondy selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk enggan meneruskan kes tersebut (no further action).

Menerusi catatan di laman Instagram, Ebit berkata saman yang difailkan kepada kedua-dua individu tersebut sedang berjalan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pendakwaan tutup kes Mondy Tattoo dakwa dirogol Ebit Lew

Pada masa sama, dia turut menzahirkan rasa syukur atas keputusan yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara berhubung tuduhan Mondy terhadapnya.

"Alhamdulillah. Alhamdulillah segala puji bagi Allah.

"Jabatan Peguam Negara memutuskan kes tidak diteruskan (NFA) berkenaan tuduhan Mondy Tattoo pada saya.

"Insya-Allah saman kepada mereka yang terlibat sedang berjalan," ujarnya di Instagram.

Terdahulu mStar melaporkan bahawa peguam bela Ebit, Datuk Akberdin Abdul Kader, berkata polis selesai menyiasat itu namun pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan kes.

Sementara itu menjengah ke ruangan komen pada perkongsian Ebit, pengikutnya turut menzahirkan rasa syukur dan bersetuju dengan tindakan pendakwah terbabit yang tetap meneruskan saman ke atas Caprice dan Mondy.

"Aku pun pelik, ustaz ni sedaya upaya nak bantu orang tapi ada segelintir bersusah-payah memfitnah dan nak menjatuhkan dia.

"Alhamdulillah, Ebit saman jangan selesai luar... saman banyak pun tak apa. Tolong jangan bagi muka.

"Semoga kebenaran akan terbongkar dengan izin daripada Allah SWT," ujar beberapa warga maya.

Untuk rekod, pada 22 September tahun lalu, Ebit menerusi peguamnya memfailkan saman terhadap Caprice dan Mondy selepas wanita terbabit membuat pendedahan tentang individu berperwarakan alim telah beberapa kali cuba melakukan gangguan seksual terhadapnya.

Pendedahan tersebut dibuat semasa sesi podcast bersama Caprice atau Ariz Ramli.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

Ben Amir kini sah bergelar suami