suria

Wanita ‘disatukan’ dengan duit RM50 yang dibelanjakan 4 tahun lalu! Gerak hati ‘boleh dapat semula suatu hari nanti’ jadi realiti

Hidayah menerima wang kertas viral itu pada 23 Februari.

SEKEPING duit kertas RM50 yang tular di media sosial akhirnya 'bersatu' semula dengan pemiliknya yang membelanjakan wang itu kira-kira empat tahun lalu.

Nur Hidayah Mohamad, 25, menerima wang kertas itu daripada Azfarul Zainol menerusi satu pertemuan yang diatur pada 23 Februari.

Wang kertas itu mempunyai nilai sentimental untuk Hidayah kerana ia merupakan pemberian terakhir arwah bapanya yang meninggal dunia akibat masalah buah pinggang pada 2020.

Pada wang kertas itu, tertulis mesej "Duit last ayah bagi 11/5/20, al-Fatihah".

Namun selepas beberapa bulan bapanya meninggal dunia, Hidayah berdepan situasi sukar sehingga dia terpaksa menggunakan wang tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Tulisan pada wang RM50, pemilik dihubungi anak arwah! Mengaku sayang nak guna tapi tiada pilihan sebab terdesak

"Saya terpaksa menggunakannya dan pada masa itu, dalam hati saya fikir, InsyaAllah, saya boleh mendapatkannya semula nanti," katanya yang bekerja sebagai juruwang.

Bagi Azfarul pula, dia mendapat wang kertas RM50 itu selepas ia dikeluarkan dari sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Kuantan, Pahang pada 19 Februari.

Tersentuh dengan mesej yang ditulis pada wang kertas itu, dia kemudian berkongsi mengenai kisah itu menerusi Facebook untuk mencari semula pemiliknya.

Selepas tular di media sosial, Hidayah menghubungi Azfarul untuk mengatur pertemuan sebelum wang itu dikembalikan kepadanya.

"Saya akan menjaganya sebaik mungkin mulai sekarang kerana ia adalah wang perbelanjaan terakhir yang diberikan oleh arwah ayah saya dan menyimpan banyak kenangan buat saya," ujar Hidayah lagi.

Azfarul turut meluahkan rasa syukur apabila wang tersebut akhirnya kembali ke tangan pemilik terdahulu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain