suria

Selamba ajar remaja pandu kereta... Lelaki disaman, disiasat 'abaikan' anak asuhan

Lelaki terbabit dikenakan tindakan saman kerana membenarkan remaja memandu.

AKIBAT membenarkan seorang remaja memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza, seorang lelaki dikenakan tindakan saman di bawah Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ia berikutan gambar remaja lelaki berusia 13 tahun itu tersebar di laman sosial sejak Jumaat.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Johor, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, susulan gambar tular itu pihaknya melakukan siasatan dan mendapati kejadian itu berlaku di Taman Permainan Taman Daya.

Ujar beliau, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 5.30 petang pada 18 Februari lalu.

“Polis IPD Johor Bahru Selatan mengesan satu gambar tular menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki memandu kenderaan ditemani seorang lelaki dewasa.

“Siasatan mendapati pemuda berusia 25 tahun merupakan anak kepada pengasuh remaja lelaki berusia 13 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Raub berkata, semasa kejadian pemuda itu didapati membenarkan kanak-kanak terbabit memandu kenderaan tersebut untuk tujuan mengajarnya teknik pemanduan.

Katanya, polis telah melakukan siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana terdapat unsur-unsur pengabaian dan mendedahkan kanak-kanak kepada kecederaan fizikal.

“Saman juga telah dikeluarkan atas kesalahan Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain