suria

Isteri orang maut ditikam, ditemukan terbaring berlumuran darah depan kedai

Seorang lelaki ditahan pihak polis atas dakwaan menikam seorang wanita sehingga maut. -Gambar Facebook

POLIS menahan seorang lelaki kerana didakwa menikam seorang wanita hingga mati menggunakan sebilah pisau di Pusat Komersial Sibu Jaya, Sarawak pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata suspek berusia 28 tahun itu ditahan pada 9.20 malam Jumaat bagi siasatan lanjut.

Menurut Zulkipli, semasa ditahan, polis turut merampas sebilah pisau daripada suspek sebagai barang kes.

Tambahnya, mangsa berusia 24 tahun ditemukan terbaring berlumuran darah di atas laluan jalan kaki sebuah kedai oleh orang awam kira-kira pukul 3 petang.

“Semasa dijumpai mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai berada dalam keadaan separuh sedar sambil memegang bahagian perutnya yang cedera parah dipercayai ditikam objek tajam.

“Orang awam kemudian menghubungi ambulans bagi tindakan lanjut dan dia dikejarkan ke hospital bagi rawatan,” katanya.

Bagaimanapun, kata Zulkipli, polis dimaklumkan oleh suaminya, mangsa meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sibu pada pukul 11.30 malam Jumaat.

Susulan kejadian, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Polis masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu manakala motif kes masih belum dapat dipastikan,” jelasnya.

Zulkipli turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung kes itu kerana ia boleh mengganggu siasatan polis.

Terdahulu, tular di media sosial apabila seorang wanita maut apabila ditikam sebanyak sembilan kali oleh lelaki yang dipercayai bekas teman lelaki mangsa. -The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain