suria

Wanita, budak perempuan dipaksa jadi pekerja seks di Banting terselamat

Kesemua suspek ditahan di premis terbabit bagi membantu siasatan.

SEORANG ibu muda bersama bayi lelaki berusia 11 bulan dan kanak-kanak perempuan berjaya diselamatkan daripada menjadi pekerja seks di Banting, Selangor.

Dalam serbuan di premis terbabit kira-kira pukul 3 petang, Khamis Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat turut memberkas seorang wanita tempatan yang bertindak sebagai 'ibu ayam'.

Turut sama ditahan adalah dua wanita warga Indonesia yang disyaki pekerja seks di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, semasa serbuan wanita tempatan berusia 25 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun disyaki dipaksa melacur.

"Polis turut menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun serta bayi lelaki berusia 11 bulan," katanya pada Jumaat.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bayi terbabit dipercayai anak kepada wanita berusia 25 tahun terbabit manakala dua lagi kanak-kanak masih dalam siasatan status mereka.

Beliau berkata, pemeriksaan polis mendapati premis lot kedai itu telah diubah suai kepada empat bilik menggunakan langsir bagi aktiviti pelacuran.

"Kegiatan terbabit telah aktif sejak dua bulan lalu dengan sasaran dalam kalangan warga asing sebagai pelanggan," ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain