suria

Doktor didakwa atas tuduhan buat pornografi, amang seksual

Seorang doktor didakwa melakukan amang seksual dan menghasilkan pornografi. -Gambar hiasan

SEORANG doktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dekat Kemaman, Terengganu, pada Khamis atas enam pertuduhan melakukan amang seksual dan menghasilkan gambar pornografi terhadap enam kanak-kanak.

Tertuduh, Dr Anas Ramli, 32, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Tertuduh yang kini berkhidmat di sebuah hospital di Kuantan, Pahang, didakwa melakukan kesalahan menghasilkan gambar pornografi lima kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 11 tahun, ketika bertugas di sebuah hospital di Kemaman.

Dia didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKKSTKK) yang dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta yang sama.

Tertuduh juga didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak berusia 12 tahun pada 8 Februari 2023, mengikut Seksyen 14(a) AKKSTKK 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama.

Pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Mohamad Razali memohon mahkamah supaya tertuduh dikenakan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Peguam tertuduh, Faizal Rahman bagaimanapun memohon jaminan diberikan kepada anak guamnya itu dikurangkan kerana jumlah bayaran tersebut amat tinggi bagi seorang penjawat awam yang baharu berkhidmat.

Hakim Wan Suhaila kemudiannya menetapkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap 1 hari bulan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sementara itu, tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas dakwaan memiliki gambar lucah yang disimpan dalam telefon bimbitnya di hospital sama antara pukul 7.30 pagi hingga 10 pagi, pada 1 November 2022.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azhani Azman, manakala tertuduh diwakili peguam, Faizal Rahman.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 selain dikenakan syarat tambahan supaya tidak menganggu mangsa dan saksi pendakwaan yang lain sehingga kes selesai.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 21 Mac depan untuk penyerahan dokumen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain