suria

Tragedi berdarah! Peniaga ditetak dalam kejadian samun, 2 kucing bernilai RM10,000 dilarikan

Dua ekor kucing dilarikan dalam kejadian samun bersenjata.

NASIB malang menimpa seorang penjual kucing apabila dia bukan saja disamun, malah kehilangan dua kucing bernilai hampir RM10,000.

Bercerita mengenai pengalaman pahit itu, Ryan Cheah, 26, berkata dia pertama kali bertemu suspek pada hari pertama sambutan Tahun Baharu Cina lalu.

"Lelaki itu datang ke rumah saya dan membeli seekor kucing pada hari itu.

"Beberapa hari kemudian, lelaki itu menghubungi saya semula dan memaklumkan berminat membeli dua lagi kucing dan ingin berjumpa saya di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah pada 18 Februari lalu," katanya ketika dihubungi, pada Khamis.

Dia bagaimanapun berasa tidak sedap hati dan memutuskan untuk bertemu di perhentian bas berhampiran.

"Saya pergi ke sana bersama teman wanita pada pukul 7.30 malam dan kami menyedari kereta pelanggan itu remuk seperti baru terbabit kemalangan.

"Saya kemudian bercakap dengan pembeli itu dan masuk ke dalam keretanya. Ketika itu, dia mengeluarkan pisau dan meminta saya memindahkan semua wang ke dalam bank miliknya," katanya.

Tambahnya, seorang lagi rakan penjenayah di lokasi kejadian mengambil dua kucing daripada teman wanitanya.

Menurut Ryan, teman wanitanya tidak menyedari kejadian samun kerana tidak mengetahui apa yang berlaku di dalam kenderaan tersebut.

"Sebaik seorang lagi pergi mengambil kucing, saya cuba melarikan diri dan membuka pintu kereta untuk keluar. Ketika itulah lelaki berkenaan mengacukan parang dan menetak saya," katanya.

Dia yang cedera pada tangan dan kaki menerima 36 jahitan akibat ditetak dengan parang.

Menurutnya, suspek melarikan diri bersama dua kucingnya dan telefon bimbit miliknya.

"Mereka tahu di mana saya tinggal. Bagaimana jika mereka datang ke rumah saya," katanya yang masih trauma akibat kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan tangkapan sudah dibuat. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Berikut

Artikel Lain