suria

Suasana sayu, jenazah Taib Mahmud selamat dikebumi

Istiadat penghormatan negeri jenazah Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud. -Gambar ZULAZHAR SHEBLEE/The Star.

JENAZAH bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud selamat dikebumikan di tanah perkuburan keluarga di Demak Jaya di Kuching, pada pukul 2.20 petang Khamis.

Sebelum itu solat jenazah diadakan di Masjid Demak berdekatan kediaman Allahyarham.

Solat jenazah yang dipimpin Imam Besar Negeri Sarawak, Datuk Mustapha Kamal Ahmad Fauzi itu juga disertai Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bersama anakandanya, Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah antara yang turut berangkat ke pengebumian Allahyarham.

ARTIKEL BERKAITAN: Taib Mahmud meninggal dunia pada usia 87 tahun

Terdahulu, istiadat penghormatan negeri jenazah Allahyarham berlangsung pada pagi Khamis.

Jenazah Allahyarham Abdul Taib dibawa dari Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak setelah selesai majlis istiadat memberi penghormatan terakhir oleh orang ramai yang diadakan di situ.

Perjalanan dari kompleks itu ke Masjid Demak diiringi tembakan 87 das meriam oleh Rejimen Ke-8 Artileri Diraja sebagai penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Abdul Taib yang digelar Bapa Pemodenan Sarawak meninggal dunia pada usia 87 tahun, kira-kira pukul 4.40 pagi Rabu di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Kerajaan Sarawak mengisytiharkan Sarawak berkabung selama dua hari bermula Rabu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain