suria

Pemandu maut dipukul 5 lelaki, ditemukan terbaring di jalan sambil tangan diikat

Tangkap layar video kejadian di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang yang tular di media sosial

SEORANG lelaki tempatan dilaporkan maut dipukul sekumpulan lelaki selepas dia didakwa merempuh pagar sebuah rumah di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, Selangor pada Selasa malam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, saksi yang juga penduduk setempat mendakwa mangsa dipukul oleh sekumpulan lelaki selepas terlibat dalam kemalangan di kawasan itu.

"Siasatan mendapati saksi penghuni kawasan perumahan itu mendakwa selepas kereta dipandu mangsa terbabas, dia ditarik keluar dari kereta oleh sekumpulan lelaki sebelum dipukul.

"Kemudian, (saksi mendakwa) tangan mangsa diikat sambil terbaring di tengah jalan berhampiran kenderaan. Apabila kenderaan Peronda Polis tiba di lokasi kejadian, semua individu yang berada di situ sudah beredar.

"Hasil maklumat dan risikan siasatan, kita berjaya menahan lima lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 52 tahun pada pukul 2.05 pagi tadi di sekitar kawasan Semenyih serta barangan yang disyaki ada kaitan," ujarnya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan seperti bekas ikatan pada pergelangan tangan mangsa.

ARTIKEL BERKAITAN: Takut kemalangan, pemuda hati kering tak bagi sahabat pinjam kereta... Lebih rela beri duit

Menurut Mohd Zaid, pemandu lelaki itu disahkan meninggal dunia selepas diperiksa pasukan perubatan.

"Beberapa sampel 'swabbing' darah dan kesan cap jari diambil, manakala dua utas gumpalan tali berwarna hijau dan coklat di lokasi turut dirampas bagi membantu siasatan.

"Kita masih menyiasat motif sebenar kejadian itu kerana ada yang mendakwa ia berpunca daripada satu kemalangan lain membabitkan mangsa di sebuah lokasi berhampiran.

"Mangsa dikatakan melarikan diri dari tempat kemalangan pertama dan dikejar orang awam hingga ke Taman Pelangi Semenyih 2 sehingga kenderaannya terbabas," ujarnya.

Namun kata Mohd Zaid, sehingga kini belum ada mana-mana pihak tampil membuat laporan polis berkenaan kemalangan pertama yang didakwa membabitkan mangsa.

Menurut Mohd Zaid, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular sebuah video berhubung kejadian itu yang mana pemandu berkenaan didakwa melarikan diri selepas melanggar seorang penunggang motosikal di sebuah persimpangan berhampiran lampu isyarat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain