suria

Polis sahkan individu maut diikat dan dipukul positif ganja, ada 10 rekod berkaitan dadah

Laporan bedah siasat menunjukkan mangsa positif dua jenis dadah.

LELAKI yang maut selepas diikat dan dipukul dalam kejadian di Taman Pelangi Semenyih 2, Selangor pada Selasa lalu, disahkan positif dua jenis dadah.

Perkara tersebut disahkan Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan selepas mendapat laporan bedah siasat yang menunjukkan lelaki berusia 42 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine dan ganja.

“Semakan dilakukan juga mendapati mangsa mempunyai 10 rekod berkaitan dadah selain dikehendaki atas kesalahan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu maut dipukul 5 lelaki, ditemukan terbaring di jalan sambil tangan diikat

Susulan kes itu, Hussein berkata, pihaknya menahan dua lagi individu masing-masing berusia 22 dan 39 tahun di Kajang, pada Khamis yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Akan ada lagi suspek ditahan, kita juga sudah menerima laporan dibuat oleh dua pemilik kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu.

“Difahamkan ketika kejadian, mangsa melanggar dua kenderaan lain sebelum ditemui meninggal dunia dipercayai akibat dipukul,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat motif kejadian itu selepas hasil bedah siasat dilakukan mendapati tiada kecederaan ketara pada mangsa yang menyebabkan kematian.

Tambah Hussein, orang ramai yang menjadi saksi kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan.

“Kita akan melihat penulisan orang ramai di media sosial berkaitan kes itu sekiranya boleh dipanggil bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan.

“Pada masa sama, kita menasihatkan orang ramai supaya tidak menokok tambah serta mengada-adakan cerita berkaitan kes ini.

“Ini kerana ia akan memberi kesan kepada siasatan dilakukan pihak polis serta mendatangkan kegusaran kepada orang ramai,” katanya.

Untuk rekod, lelaki terbabit didakwa telah merempuh pagar sebuah rumah di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang sebelum ditangkap oleh penduduk setempat.

Dia juga didakwa telah diikat dan dipukul oleh sekumpulan lelaki sehingga maut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain