suria

Cari penyakit! Lelaki duduk di seat penumpang sambil kereta dipandu kanak-kanak berdepan hukuman

Foto tular seorang kanak-kanak memandu kereta.

PADAH membenarkan kanak-kanak memandu kereta, seorang lelaki berdepan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau-keduanya susulan tindakannya itu.

Perbuatan menyalahi undang-undang tersebut terbongkar selepas foto kanak-kanak itu sedang memandu kereta tular, dalam kejadian di kawasan taman permainan Taman Daya, Johor Bahru, Johor.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek berusia 25 tahun juga boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

"Pada Jumaat sekitar pukul 12 tengah hari, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menerima maklumat berhubung gambar memaparkan seorang kanak-kanak sedang memandu kenderaan di jalan raya awam dengan seorang lelaki dewasa duduk di sebelah tempat penumpang.

"Hasil siasatan yang dijalankan, pihak IPD Johor Bahru Selatan mengesahkan kejadian berlaku Ahad lalu sekitar pukul 5.30 petang di kawasan Taman Permainan Taman Daya.

"Ketika kejadian, suspek yang juga merupakan anak kepada pengasuh kanak-kanak tersebut membenarkan kanak-kanak itu memandu kereta dengan tujuan mengajarnya memandu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut Raub, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana terdapat unsur-unsur pengabaian dan mendedahkan kanak-kanak kepada kecederaan fizikal.

Dalam pada itu, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian jenayah, boleh menghubungi terus talian hotline IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Berikut

Artikel Lain