suria

Abdul Hadi tak sihat, sudah hantar sijil MC kepada Speaker

Abdul Hadi mempunyai beberapa rawatan susulan di sebuah hospital di Terengganu. -Gambar fail

AHLI Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak kelihatan pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Semasa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, kerusi presiden PAS di barisan hadapan blok pembangkang dilihat kosong.

Bagaimanapun menurut Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman, Abdul Hadi berdepan masalah kesihatan dan beliau masih mempunyai beberapa rawatan susulan di sebuah hospital di Terengganu.

Jelas Mohd Syahir yang juga Setiausaha Politik kepada Abdul Hadi, surat dan sijil cuti sakit sudah dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada Ahad.

Untuk rekod Abdul Hadi hanya menghadiri 33 daripada 103 sesi Parlimen sejak 26 Julai 2021, demikian menurut data yang dikumpulkan Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR) melalui inisiatif MyMP.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan kerja PM seorang... Sultan Ibrahim titah semua MP bela rakyat, enggan layan permintaan gugat kestabilan politik

Sebelum ini, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dilaporkan mencadangkan nama Ahli Parlimen yang didapati sengaja tidak hadir dalam persidangan Parlimen dipaparkan di laman web Dewan Rakyat.

Katanya, ia akan membolehkan pengundi masing-masing menyedari perkara itu.

Johari berkata ini antara langkah yang diambil untuk meningkatkan kehadiran Ahli Parlimen semasa persidangan Dewan Rakyat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain