suria

28 anggota bomba kerja keras gali secara manual, mangsa terbenam dalam tanah 1.5 meter

Anggota bomba bertungkus lumus mengeluarkan mangsa nahas pesawat ringan.

HAMPIR 30 anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digerakkan secara bersama dalam operasi mengeluarkan mayat mangsa nahas pesawat terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang, Selangor pada Selasa.

Menurut Pengarah JBPM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, kekuatan keanggotaan JBPM itu melibatkan seramai 15 pegawai kanan dan 23 pegawai bomba lain-lain pangkat.

Tambahnya, kerja-kerja mencari mangsa sebelum ini juga dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), RELA, Majlis Bandaraya Diraja Klang dan penduduk sekitar.

"Usaha pencarian dilakukan oleh pihak bomba dengan menggunakan kaedah 'sweeping' dalam jarak 800 meter daripada cebisan sayap pesawat sehingga ke bangkai utama pesawat yang dipercayai terjunam 45 peratus ketika penerbangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Identiti 2 juruterbang maut dikenal pasti... Mangsa berasal dari Johor, Pulau Pinang

"Bomba juga menggunakan kaedah penggalian secara manual dengan bantuan jentera berat berdasarkan cebisan-cebisan mayat yang ditemui di sekitar bangkai pesawat.

"Pada pukul 7.06 malam, mangsa pertama yang berada di dalam kokpit pesawat pada ke dalaman lima kaki (kira-kira 1.5 meter) di dalam tanah berjaya dibawa keluar oleh bomba dan mangsa kedua pula pada pukul 7.17 malam," katanya dalam kenyataan awal pagi Rabu.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan juruterbang dan pembantu juruterbang terkorban dalam nahas pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar.

Usaha mengeluarkan mangsa melibatkan beberapa badan beruniform lain.

Jelasnya, mangsa yang terbabit adalah warga tempatan dikenali sebagai Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan Roshaan Singh Raina, 42, berjaya ditemukan berada di dalam kokpit pesawat terbenam di dalam tanah.

Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang pada pukul 1.28 tengah hari bagi penerbangan rekreasi.

Mayat kedua-dua mangsa yang juga warganegara Malaysia itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang kira-kira pukul 8.10 malam sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain