suria

Anak mengamuk pukul ibu guna tukul besi, buka injap tong gas ugut bakar rumah

Anggota bomba cuba menyelamatkan seorang ibu yang dipukul oleh anaknya.

TULAR di media sosial rakaman video menunjukkan beberapa individu dan anggota bomba meluru masuk ke dalam sebuah rumah pangsa selepas membuka pintu jeriji besi.

Kelihatan juga kepulan asap memenuhi seluruh ruangan kediaman berkenaan.

Sebahagian anggota bomba lain dilihat bersedia di bahagian luar dengan hos aliran air bertekanan tinggi sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

Difahamkan, kekecohan berlaku disebabkan seorang lelaki mengamuk dan bertindak mengikat serta memukul ibunya dengan tukul besi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Georgetown, Pulau PInang, Shaari Mansor berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.57 malam berhubung kejadian itu di rumah flat di Jalan Gangsa, pada Selasa malam.

Sejurus tiba di lokasi, terdapat seorang lelaki berusia 40-an mengunci pintu rumah dan mengikat pintu jeriji besi dengan dawai serta bertindak agresif memukul ibunya yang berusia 60-an.

Cubaan pengawai bomba memujuk lelaki berkenaan tidak berjaya kerana dia dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.

Dia juga membuka dua injap tong gas dan bertindak menghidupkan pembersih hampagas lalu membuat ancaman mahu menyalakan api menggunakan pemetik api.

Difahamkan lelaki terbabit tidak bekerja dan tinggal bersama ibu yang merupakan mangsa dan seorang lagi ahli keluarga.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid mengesahkan kejadian dan suspek direman pagi Rabu.

Ibu yang menjadi mangsa kekerasan anak sendiri itu diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan. -hmetro

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain