suria

Budak 6 tahun pandu kereta, siap bawa adik 3 tahun sebelum terbabas

Seorang budak berusia enam tahun memandu sebuah kereta sebelum terbabas.

ORANG ramai dikejutkan dengan tindakan seorang budak lelaki berusia enam tahun memandu sebuah kereta sehingga terbabit kemalangan di Jalan Bukit Tangga di Langkawi, malam Selasa.

Kanak-kanak berkenaan memandu sejauh 2.5 kilometer dari rumahnya bersama seorang penumpang yang merupakan adiknya berusia tiga tahun.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, polis menerima satu panggilan telefon daripada orang awam mengenai satu kemalangan jalan raya di kawasan tersebut, pada pukul 11.15 malam.

"Kemalangan berpunca daripada kereta yang dipandu dari rumahnya tanpa pengetahuan ibu bapa dan hilang kawalan serta terbabas masuk ke tepi jalan di Jalan Bukit Tangga, Langkawi.

"Pemandu mengalami kecederaan di dagu, manakala penumpang tidak cedera," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Beliau berkata, dua beradik itu dipercayai keluar dari rumah ketika bapa mereka sedang tidur, manakala ibu berada di dalam bilik air.

"Kanak-kanak itu dipercayai memandu pada jarak kira-kira 2.5 kilometer sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu," ujarnya.

Menurut Shariman, kes disiasat bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu, tular video menunjukkan seorang kanak-kanak memandu kereta Toyota Vios sehingga terbabit dalam kemalangan di Jalan Bukit Tangga, Langkawi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain