suria

Perbicaraan 1MDB ditangguh... Najib alami cirit birit, dehidrasi

Najib mengalami cirit birit dan dhidrasi.

PERBICARAAN berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan Datuk Seri Najib Razak ditangguhkan selama dua hari selepas beliau jatuh sakit serta diberikan sijil sakit.

Mahkamah Tinggi terpaksa menangguhkan perbicaraan yang sepatutnya berlangsung minggu ini kepada Khamis (11 Mei).

Pegawai perubatan Penjara Kajang, Dr Mohd Hafiz Mohd Hoshni memberitahu mahkamah beliau dimaklumkan mengenai keadaan Najib pada 7.15 pagi Selasa (9 Mei).

Semasa disoal siasat oleh timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib, Dr Mohd Hafiz berkata beliau telah berjumpa Najib, yang mengadu sakit perut dan loya serta terpaksa ke tandas empat kali.

“Saya memberinya ubat tetapi keadaan kekal sama selepas 10 minit dan pemeriksaan mendapati dia kekurangan air serta mengalami demam ringan pada suhu 37.8°C,” katanya.

Tambah doktor, Najib yang kelihatan letih, lesu dan dehidrasi kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 9.30 pagi.

Ketika disoal oleh peguam utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Dr Mohd Hafiz berkata bekas perdana menteri itu mengalami cirit-birit sejak Isnin (8 Mei).

"Dia (Najib) tidak layak untuk menghadiri perbicaraan kerana diberi titisan (cecair intravena) dan tidak boleh berdiri atau duduk lama," kata doktor itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian menangguhkan perbicaraan ke Khamis.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang yang sama. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain