suria

Tabung Haji umum dividen 3.1 peratus, boleh semak agihan keuntungan pada Sabtu

Keuntungan 3.1 peratus adalah kompetitif mengambil kira antaranya kadar agihan bagi tahun 2022.

LEMBAGA Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.1 peratus, membabitkan nilai RM2.65 bilion bagi tahun kewangan 2022.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar, berkata agihan itu akan memberi manfaat kepada lebih 8.7 juta pendeposit TH dengan jumlah keuntungan diagih adalah RM2.65 bilion.

Beliau berkata agihan keuntungan itu kompetitif dengan mengambil kira kadar agihan bagi tahun 2022 adalah lebih tinggi daripada purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan iaitu 2.34 peratus dan zakat telah dilunaskan bagi pihak pendeposit.

“Agihan keuntungan 2022 adalah selepas TH melunaskan zakat sebanyak RM97 juta kepada semua Majlis Agama Islam negeri bagi pihak pendeposit menjadikan jumlah terkumpul sebanyak RM1.27 bilion sehingga kini.

“Jumlah agihan sebanyak RM2.65 bilion bagi tahun kewangan 2022 lebih tinggi 7 peratus berbanding 2021 iaitu RM2.46 bilion walaupun kadar dividen kekal sama iaitu 3.1 peratus.

“TH mengambil pendekatan pelaburan yang lebih berhati-hati berlandaskan alokasi aset strategik untuk menghadapi persekitaran yang tidak menentu.

“Usaha ini membantu dalam penjanaan hasil bagi memastikan kadar agihan berpatutan bagi tahun kewangan 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pengumuman Agihan Keuntungan Tabung Haji 2022, pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Amrin Awaluddin.

Mohd Naim turut memberitahu jumlah pendeposit baharu TH pada tahun 2022 adalah seramai 400,000 orang.

Pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula 12 tengah hari, Sabtu, 29 April 2023 menerusi platform THiJARI, kaunter TH, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.

Urusniaga TH juga akan ditangguhkan sementara waktu bermula puku 8 malam 28 April ini sehingga 12 tengah hari keesokkannya bagi melancarkan urusan pengkreditan Agihan Keuntungan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain