suria

Tak serik cederakan isteri, lelaki sekali lagi dihadap ke mahkamah... selepas tumbuk muka, hantuk kepala ke lantai pula!

Seorang lelaki sekali lagi didakwa memukul isterinya. -gambar hiasan

SEORANG lelaki berusia 46 tahun yang tidak serik memukul isterinya, sekali lagi dihadapkan ke mahkamah Tampin, Negeri Sembilan atas kesalahan sama pada Khamis.

Tertuduh, S. Ragubalan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Saiful Sayoti.

Dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada isterinya yang berusia 41 tahun dengan menumbuk mukanya dan menghantuk kepala isterinya ke lantai, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di muka, dahi dan bengkak pada bahagian tengkuk.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Molek di Gemas, Tampin, sekitar jam 9.15 pagi, 24 April lalu.

Ragubalan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Yap Tsu Sheng memberitahu mahkamah bahawa tertuduh pernah didakwa melakukan kesalahan sama di mahkamah majistret Tampin, pada November lalu.

"Tertuduh dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM1,500 selepas mengaku salah. Dia kini melakukan kesalahan sama," katanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon mahkamah membenarkan jaminan kerana mempunyai penyakit kencing manis dan baru bekerja hampir dua bulan.

Mahkamah kemudian menolak ikat jamin tertuduh dan menetapkan 8 Mei depan sebagai sebutan semula kes. - THE STAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain