suria

Peniaga OKU menangis jumpa PM, tak sangka dipelawa ‘masuk TV’… rupanya pernah kibar bendera putih

Epul mengalirkan air mata gara-gara rasa sebak berjumpa Perdana Menteri secara berhadapan.

AKIBAT tidak mampu menahan sebak, seorang pengusaha lemang mengalirkan air mata ketika berdiri di sebelah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Momen tersebut dirakam oleh lensa kamera ketika individu berkenaan, Shaiful Selamat atau Epul berpeluang bersalaman dan beramah mesra dengan Anwar pada Rabu.

Sebagaimana dikongsikan di Twitter, @sadiqasyraf berkata Epul pada awalnya dipelawa oleh sebuah syarikat produksi untuk membuat penggambaran iklan bersama Perdana Menteri ke-10 di premis niaganya di Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Melihat keikhlasan lelaki ini, Sadiq mendapatkan nombor telefon untuk menghubungi Epul sendiri bagi mengirimkan foto kenangan bersama Anwar yang diambil.

“Semasa PM-10 sedang bersiap pakai microphone untuk shooting, saudara Epul sempat bergambar dengan dia. Dia sangat terharu sampai keluar airmata lepas bersalaman dengan perdana menteri.

“Saya juga sempat berbalas mesej dengan saudara Epul untuk berkongsi gambar kenangan bersama PM. Saudara Epul berkongsi dengan saya tentang kecacatan yang menyebabkan tangan kanannya tidak boleh berfungsi sepenuhnya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Anwar, ambil gambar kejap” - Gelagat peminat cilik teruja jumpa PM cuit hati netizen, siap laung ‘reformasi’!

Malah, dalam tangkap layar perbualan tersebut dimaklumkan Epul kini sedang dalam proses membuat pemohonan kad Orang Kelainan Upaya (OKU) dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Tiba-tiba orang datang nak sewa peralatan lemang, dan kena berlakon, dapat pula bertemu dengan perdana menteri yang saya biasa tengok dalam televisyen sahaja dan dia seorang insan yang kuat serta teguh walau diasak pelbagai perkara.

"Saya orang biasa macam ini pun terpaksa ambil risiko untuk teruskan hidup. Masih ada orang susah daripada saya. Yuran sekolah anak pun tidak mampu bayar jadi saya buat segala jenis kerja janji mendatangkan rezeki buat anak-anak.

"Berasa tertipu masa PKP, saya sampai letak bendera putih untuk dapat nasi bagi anak makan, saya tak mahu semua itu berlaku lagi jadi biarlah PMX menjalankan amanah. Saya sentiasa sokong dan semoga beliau sihat selalu," ujarnya.

Epul kelihatan begitu terharu ketika berjumpa dengan Anwar.

Hantaran dibuat meraih perhatian netizen yang turut berasa sebak melihat adegan Epul ketika berjumpa dengan Anwar.

Bersempena dengan Syawal bakal tiba, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan, boleh membuat tempahan lemang di premis niaganya.

Seperti yang tertera pada iklan, perniagaannya dikenali dengan nama 'Lemang Drum Resipi Beranang' yang dijual di Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain