suria

Kanak-kanak berjalan tanpa arah tuju dipercayai mangsa rogol, polis tahan 3 suspek termasuk ibu mangsa

Seorang kanak-kanak perempuan menjadi mangsa rogol dan dera dijumpai di tepi jalan. - Gambar hiasan

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang dijumpai berjalan kaki tidak tentu arah di tepi jalan di Manjung, Perak dipercayai menjadi mangsa rogol.

Susulan kejadian, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita disyaki terbabit dalam merogol serta mendera kanak-kanak itu yang dijumpai dalam keadaan tidak terurus dan kusut masai.

Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Chong Boo Khim berkata, penahanan dilakukan selepas seorang lelaki menjumpai mangsa di tepi jalan seorang diri dan membawa mangsa ke balai polis di daerah berkenaan jam 11.50 pagi Isnin.

"Mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Manjung bagi tujuan rawatan.

"Hasil pemeriksaan pihak perubatan mendapati, mangsa dipercayai dirogol dan didera.

"Terdapat kesan kecederaan lama dan baharu pada badan mangsa," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Boo Khim berkata, sepasukan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menahan dua lelaki dan seorang wanita di perkarangan balai polis jam 9.30 malam hari yang sama kerana disyaki terbabit dalam kes tersebut.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek ialah ibunya sendiri, 29; bapa tiri pertama mangsa, 40; dan suami ibu sekarang, 26.

"Ketiga-tiga suspek yang berusia antara 26 hingga 40 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau.

"Mereka direman sehingga 23 April depan bagi siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2021 dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya. -THE STAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain