suria

Jangan kata cikgu tak payung! Guru iring, siap peluk murid ketika hujan… ramai dapat ‘feel’ kasih sayangnya

Guru ini sanggup mengiringi anak muridnya ketika hari hujan.

KASIH seorang guru terhadap muridnya boleh diibaratkan seperti menatang minyak yang penuh.

Ibarat anak sendiri, setiap guru pastinya mahu melihat pelajar mereka selamat pergi dan kembali dari sekolah.

Begitulah yang dapat diperhatikan melalui satu video tular di TikTok apabila seorang guru tidak berfikir dua kali untuk mengiringi dan memayungi anak muridnya dari kereta ibu bapa ke pintu masuk sekolah, pada hari hujan

Ibu kepada salah seorang kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Aziella betkata guru itu sangat prihatin dan sanggup meredah hujan seawal pukul 6:30 pagi bagi memastikan anak muridnya tidak basah kuyup masuk ke kelas.

ARTIKEL BERKAITAN: Murid berebut nak salam, peluk cium cikgu... ada yang ‘cekik manja’ sebab terlebih sayang! Guru kongsi rahsia ‘ngam’ dengan pelajar

Selain itu, usaha murni guru tersebut juga bertujuan melancarkan aliran trafik di perkarangan sekolah agar ibu bapa tidak perlu memberhentikan kereta untuk tempoh yang lama.

Memetik laporan World of Buzz, guru tersebut yang dikenali sebagai Mahendran menggalas tanggungjawab untuk memantau hal ehwal komuniti pelajar.

Aziella juga memaklumkan bahawa Mahendran, guru pendidikan khas di sekolah tersebut sangat penyabar dan berkebolehan dalam mengajar anaknya yang menghidap autisme.

"Mahendran dan guru-guru lain sangat suka membantu dan sering mengambil berat tentang anak murid," kata Aziella.

Mahendran meredah hujan untuk memayungi anak murid.

Menurut Aziella, kerana anaknya berkeperluan khas, dia dibenarkan untuk dihantar sehingga ke dalam kawasan sekolah.

"Apabila saya lihat Mahendran tekun memerhatikan kereta yang keluar masuk dan sentiasa cuba membantu apa yang boleh, saya berasa yakin untuk membenarkan dia mengiringi anak saya masuk ke dalam sekolah," ujar Aziella.

Berdasarkan komen warga maya, Mahendran dikatakan merupakan seorang guru penolong kanan pentadbiran Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Petaling.

Menitipkan pesanan, Aziella berkata kesedaran mengenai autisme dalam masyarakat semakin meluas dan ibu bapa kepada kanak-kanak istimewa ini tidak perlu lagi menyisihkan diri.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya mengenali Mahendran sebagai seorang guru yang penyayang.

"Cikgu Mahendran ni memang seorang cikgu yang baik sangat, dulu masa dia mengajar dekat sekolah Sungai Besi semua anak murid sayang dekat dia.

"Dia siap peluk lagi tu anak murid dia waktu nak bawa masuk sekolah, memang betul sayang.

"Ini definisi guru yang bersemangat dalam apa yang dilakukannya.

"Boleh rasa sampai ke luar skrin telefon ni dia punya kasih sayang tu," kata sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain